Gambar hiasan. foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2020.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia  hentikan segera mengimport lembu hidup dari Thailand.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat susulan laporan media Thailand mendakwa terdapat wabak penyakit kulit berbonjol (lumpy skin disease) pada lembu yang diternak dalam kandang negara terbabit.

Mohideen.

Jelasnya, langkah menghentikan import lembu harus dilakukan segera memandangkan dalam tempoh kurang dua bulan umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Kita percaya haiwan hidup seperti lembu dan kerbau akan diimport ke negara ini memandangkan kedudukannya paling dekat dengan kita.

“Selain itu, kita juga bimbang perkara sama menimpa haiwan hidup di sini kerana penyakit itu  mudah boleh berjangkit dan ia disebarkan melalui nyamuk, lalat dan kutu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, pihak berwajib juga perlu menjalankan siasatan untuk memastikan penyakit ini tidak menjejaskan lembu dan kerbau negara.

Kata beliau, walaupun penyakit ini tidak menjejaskan manusia namun penyakit kulit berbonjol merupakan salah satu alasan yang paling ketara bagi pengharaman eksport daging di Eropah dan Amerika Syarikat.

“Penyakit kulit berbonjol adalah penyakit berjangkit dalam kalangan lembu dan kerbau yang disebabkan oleh virus.

“Selain menunjukkan gejala-gejala seperti demam, penyakit ini juga akan menyebabkan kelenjar limfa yang membesar dan bintil berganda pada kulit dan membran mukus.

“Rawatan penyakit ini menelan kos yang tinggi dan kita tidak mahu penternak tempatan menganggung kerugian sekiranya ia mula menyerang ternakan dalam negara,” ujar Mohideen.

Sebelum ini media Thailand melaporkan lebih daripada 6,700 ekor lembu dan kerbau di 35 wilayah di Thailand terjejas akibat penyakit tersebut. – MalaysiaGazette