Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong bercakap pada sidang media khas mengenai kemalangan dua LRT yang bertembung dari arah Gombak dan Kelana Jaya di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Insiden pertembungan serta pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) dijangka akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu depan.

Selain laporan, ia juga akan mengandungi cadangan untuk meningkatkan keselamatan pengangkutan awam turut akan dikemukakan seterusnya mencegah kejadian sama berulang.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha  telah melaksanakan beberapa perkara termasuk menyemak prosedur operasi standard (SOP).

Jawatankuasa juga menyemak manual operasi, rule book dan dokumen-dokumen panduan operasi yang berkaitan dalam siasatan yang dilakukan.

“Data yang dikumpul dari rakaman kamera litar tertutup, temu siasat bersama pihak berkaitan serta perbincangan teknikal lain yang berkaitan dengan pembekal teknologi turut terangkum dalam laporan ini.

“Bagi mendapatkan gambaran kejadian dengan lebih jelas, satu lawatan telah diadakan ke pusat kawalan operasi (OCC) LRT Kelana Jaya di Lembah Subang pada 1 Jun ini.

“Juga diikuti  dengan sesi simulasi kemalangan di tempat kejadian oleh pihak Prasarana Malaysia Bhd pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Ka Siong, penyiasatan yang dijalankan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak sebaliknya untuk mengenalpasti hal keadaan dan punca sebenar perlanggaran tren 40 dan tren 81 itu.

Jelasnya tindakan ini juga bagi mengelakkan insiden sama berlaku pada masa hadapan.

“Tahap keselamatan pengguna pengangkutan awam sentiasa menjadi keutamaan dan kerajaan akan terus mencari jalan penyelesaian,” tegasnya.

Jawatankuasa Siasatan itu telah ditubuhkan sejurus selepas insiden tersebut diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak.

Jawatankuasa itu juga telah diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan siasatan seterusnya membentangkan kepada kabinet.

Ini juga merupakan insiden kemalangan membabitkan perkhidmatan LRT yang pertama kali berlaku di negara ini sejak operasinya pada 23 tahun lalu.

Pada 24 Mei lepas,  seramai 47 penumpang cedera parah termasuk enam kritikal yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur manakala 166 yang lain cedera ringan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast