Pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas amat dirasai oleh semua pihak.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas amat dirasai oleh semua pihak.

Ini termasuk kuil-kuil Hindu yang diarahkan tutup  sekaligus menyebabkan pendapatan melalui dana pengunjung serta ritual pooja semakin berkurangan sehingga menyebabkan pendapatan rumah ibadat itu terjejas.

Bagaimanapun kerajaan telah menyalurkan bantuan kuil melalui Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) sebanyak RM4.2 juta untuk diagihkan kepada 1,934 kuil terjejas sejak awal Disember tahun lepas.

Tanggungjawab itu telah diberikan kepada Malaysia Hindu Sangam (MHS) untuk diagihkan sejak Mac lalu namun terdapat dakwaan peruntukan itu tidak sampai sehingga kini.

Menurut Bendahari Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agana Hindu Malaysia (MAHIMA), S. Balagurunathan kecewa kerana masih banyak kuil tidak menerima bantuan berkenaan.

Peruntukan itu antara RM1,800 sehingga RM2,600 bergantung kepada ukuran dan lokasi malah sebanyak 310 buah kuil telah menerima dana tersebut melalui MITRA dan selebihnya melalui MHS.

Ada juga kuil yang memerlukan peruntukan antara RM3,000 hingga RM30,000.

“Apa yang kami tidak faham sebenarnya mengapa ambil masa begitu lama untuk berikan peruntukan itu? Pada masa pandemik ini adakah anda tahu betapa kuil-kuil kecil ini menderita dan bergantung pada dana diberikan kerajaan ini?

“Kita mohon ketelusan dalam perkara berbangkit ini, mohon MHS tampil beri pecahan berapakah yang telah diberikan dan alasan mengapa kelewatan seperti ini.

“Adakah kuil-kuil yang belum menerima perlu menunggu dengan lebih lama apatah lagi kini sudah masuk PKP 3.0 pula jadi mohon pencerahan kerana ramai sangat binggung dan tidak berpuas hati,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini difahamkan dana yang disalurkan kepada kuil-kuil ini bagi tujuan mereka membayar bil utiliti mereka dan membeli barang doa selain juga segelintir menggunakan peruntukan itu membayar tunggakan bil elektrik serta keperluan lain.

Dalam pada itu, Balagurunathan turut menggesa MITRA mengagihkan segera dana tersebut kepada kuil-kuil terjejas memandangkan pihaknya juga mempunyai data berkaitan dan tidak mahu mereka menggunakan pihak ketiga untuk berbuat demikian.- MalaysiaGazette