KUALA LUMPUR – Perdana Menteri telah mengarahkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengambil maklum mengenai keresahan rakyat mengenai perkara itu.
Sehingga hari ini, katanya, hampir 13 juta individu telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan ia hanya 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak untuk menerima vaksin.
“Saya juga mendengar keluhan daripada penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman terutamanya warga emas yang sukar untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin.
“Untuk itu, saya telah mengarahkan semua Kementerian dan Agensi Kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset Kerajaan bagi mempermudahkan untuk mereka mendapat vaksin.
“Saya juga telah meminta JKJAV untuk melihat semula proses pendaftaran vaksin agar dapat dipermudahkan lagi, termasuk cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat divaksinasi,” katanya dalam siaran video yang disiarkan hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru rakyat Malaysia agar tampil ke hadapan sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin.
Golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara, katanya.
Perdana Menteri juga menyatakan kadar vaksinasi dos pertama di negara ini adalah antara tertinggi di Asia Tenggara.
“Sehingga hari ini, kita telah memberikan lebih 3 juta suntikan dos vaksin, dengan lebih 2 juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin COVID-19.
“Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan kita. Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara lain dan bergantung kepada pengeluar vaksin untuk mendapatkan bekalan.
“Bagaimanapun hasil persediaan awal kerajaan, kita telah berjaya menjamin bekalan vaksin yang mencukupi, malah melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini.
“Dalam tempoh terdekat ini, saya telah diberi jaminan lebih banyak bekalan vaksin akan tiba. Saya telah mengarahkan Menteri Penyelaras, YB Khairy Jamaluddin untuk memastikan bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) ditambah di seluruh pelosok negara bagi mempercepatkan dan mempermudahkan pemberian vaksin kepada anda semua.
“Insya-Allah, sasaran kita supaya 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini, akan tercapai. Namun begitu, ingin saya ingatkan, ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama anda semua,” katanya.- MalaysiaGazette