bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka diniagakan mendatar minggu depan dengan paras halangan pada 1,600 hingga 1,610 mata.

Peserta pasaran akan memantau Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara pada April yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan dan mesyuarat kadar dasar Bank Pusat Eropah (ECB).

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, minggu yang pendek sempena cuti umum akan menyumbang lagi kepada pasaran yang lengang berikutan dilihat tiada pemangkin baharu dalam pasaran.

Bursa tempatan akan ditutup pada Isnin, 7 Jun, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Bursa tempatan dan anak syarikatnya akan menyambung semula operasi pada Selasa, 8 Jun.

“Melihat ke hadapan minggu depan dari aspek domestik, Jabatan Perangkaan akan mengeluarkan data IPP bagi bulan April yang dijangka terus berkembang sejajar dengan pemulihan dalam permintaan luaran.

“Di peringkat global, pelabur akan memberi tumpuan kepada mesyuarat kadar dasar ECB pada Khamis depan. ECB perlu memutuskan mengenai kadar pembelian bon pada mesyuarat dasar pada 10 Jun, dan petunjuk daripada penggubal dasar menunjukkan terdapat kekurangan minat untuk mengambil risiko bagi mengurangkan sokongan walaupun jika blok itu kini tegas mengenai pemulihan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management Stephen Innes berkata langkah Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk meningkatkan jumlah syarikat China yang disekat daripada pelaburan AS kepada 59 berkuat kuasa 2 Ogos akan memberi impak negatif kepada saham tempatan tertentu, terutamanya di kaunter elektrik dan elektronik.

“Ini adalah sama dengan perang perdagangan mini (AS-China),” katanya.

Pada Khamis, Biden telah menandatangani perintah eksekutif yang meminda larangan mengenai pelaburan AS dalam syarikat China, menamakan sebahagian 59 syarikat yang mempunyai kaitan dengan ketenteraan China atau dalam industri pemantauan, termasuk Huawei Technologies Co dan tiga syarikat telekomunikasi terbesar di negara itu.

Pada Jumaat, indeks teknologi tempatan merosot 1.1 peratus, sehari selepas pengumuman tersebut.

“Pasaran gelisah berhubung permintaan terhadap komponen semikonduktor Malaysia dari China, menyebabkan Indeks Teknologi Bursa Malaysia susut 1.1 peratus, menjadikannya kaunter yang mencatatkan kemerosotan kedua terbesar dalam kalangan indeks sektor selepas Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia,” kata Adam.

Dari aspek positif, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd melalui notanya berkata berdasarkan data FBM KLCI, prestasi indeks petunjuk pasaran cenderung kepada positif pada Jun, dengan purata kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.3 peratus sejak 10 tahun lepas, dan pulangan bulan ke bulan 0.6 peratus sejak 43 tahun lepas.

“Pada Jun, perhatian pelabur akan diberikan kepada hasil mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Persekutuan AS pada 15-16 Jun, mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) Ke-18 pada 1 Julai, perincian lanjut mengenai pakej rangsangan PEMERKASA Tambahan dan impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dari 1-14 Jun dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya.

Di peringkat global, pelabur akan memantau jumlah kes baharu COVID-19 di India dan negara-negara lain, serta pelaksanaan vaksinasi COVID-19 dan program pengedaran.

Turut menjadi tumpuan ialah pergerakan kadar hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam perkongsian di laman sosial Twitter pada Jumaat berkata Malaysia mencatatkan 7,748 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah kes positif di negara ini setakat hari ini ialah 603,122 kes.

Pada minggu dagangan baru berakhir, FBM KLCI bergerak antara 1,568.47 (pada Isnin menjelang sekatan pergerakan penuh) dan 1,599.72 (pada Khamis).

Indeks berkurangan 15.99 mata kepada 1,578.45 semasa ditutup pada Jumaat daripada 1,594.44 pada minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri minggu ini dengan penurunan diterajui oleh kaunter berkaitan penjagaan kesihatan. Kaunter berkaitan penjagaan kesihatan merosot selepas program vaksinasi negara dipertingkatkan dengan jumlah tertinggi dos harian diberikan pada Jumaat.

Bagaimanapun, FBM KLCI mendapat manfaat daripada minyak mentah yang mencecah harga tertinggi sejak Oktober 2018.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, Indeks FBM Emas susut 60.70 mata kepada 11,517.80, Indeks FBMT 100 merosot 71.02 mata kepada 11,205.58, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 118.74 mata kepada 12,728.30 dan FBM ACE jatuh 43.58 mata kepada 7,800.30, bagaimanapun, FBM 70 naik 70.26 mata kepada 14.939.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 22.45 mata kepada 15,144.68, Indeks Perladangan merosot 138.66 mata kepada 6,769.80 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.29 mata kepada 193.38.

Indeks Tenaga susut 18.91 mata kepada 844.69, Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 68.32 mata kepada 3,066.07 dan Indeks Teknologi naik 1.78 mata kepada 80.76.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 36.95 bilion unit bernilai RM19.82 bilion daripada 30.51 bilion unit bernilai RM18.84 bilion dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 24.2 bilion saham bernilai RM16.35 bilion daripada 16.84 bilion saham bernilai RM14.96 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.64 bilion unit bernilai RM180.66 juta daripada 944.87 juta unit bernilai RM104.14 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE, bagaimanapun, susut kepada 11.10 bilion saham bernilai RM3.55 bilion daripada 12.71 bilion saham bernilai RM3.75 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast