Orang ramai beratur panjang menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan Vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 MEI 2021.

KEADAAN terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia adalah amat membimbangkan. Data kes positif dijangkiti virus Covid-19 terus menunjukkan peningkatan sehingga hampir 10,000 kes. Begitu juga angka kes yang melibatkan kematian yang tinggi memberikan isyarat bahawa bahaya yang menanti kepada sesiapa sahaja yang terkena jangkitan virus ini. Jika sebelum ini, kumpulan yang berisiko adalah dalam
kalangan individu yang sudah berusia dan mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik.

Namun kini, golongan muda dan yang tidak mempunyai sejarah penyakit berbahaya juga boleh terdedah kepada kematian apabila dijangkiti virus Covid-19. Terutamanya, dengan kemunculan beberapa varian yang merbahaya seperti Varian Afrika dan Varian India yang mudah untuk dijangkiti. Baru-baru ini, UK mengumumkan bahawa pertama kali tiada kes kematian harian yang dilaporkan sejak Mac 2020. Keberhasilan ini banyak disumbangkan oleh pengambilan vaksin Covid-19 yang mula digerakkan Disember 2020.

Kini, 31.4% rakyat mereka sudah melengkapkan dos suntikan vaksin manakala 51.4% sudah menerima dos suntikan yang pertama. Berbanding dengan negara kita,
peratusan yang sudah menerima vaksin jauh lebih rendah. Mengikut laman web
www.vaksincovid.gov.my, sekitar 2 juta daripada 32.75 juta orang penduduk Malaysia telah mendapat suntikan iaitu lebih kurang 6.5%. Manakala individu yang mendaftar untuk menerima suntikan pula ialah 12.5 juta orang atau 38.1%. Ia sedikit sebanyak memberikan gambaran jauh lagi perjalanan kita untuk mencapai imuniti kelompok iaitu 80% penduduk mendapat suntikan vaksin.

Justeru, setiap individu dalam masyarakat mempunyai peranan dalam membantu kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok. Walaupun mungkin terdapat beberapa isu di sudut bekalan vaksin, ia tidak menafikan keperluan setiap penduduk di negara kita untuk sekurang-kurangnya mendaftar diri untuk suntikan vaksin. Oleh yang demikian, promosi dan galakan masyarakat untuk menyertai program vaksinasi amat perlu digerakkan.
Inisiatif sukarelawan yang diwujudkan oleh pihak kerajaan melalui Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) hasil kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) adalah langkah yang sangat baik supaya sinergi ini dapat membantu meringankan bebanan tugas frontliners.

Oleh yang demikian, peluang aktiviti kesukarelawan ini perlu dimanfaatkan oleh mahasiswa IPT untuk turun membantu masyarakat dan kerajaan bagi menjayakan program vaksinasi ini. Mereka boleh menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi menguruskan orang ramai yang hadir di pusat tersebut. Kadang-kadang, yang hadir adalah masyarakat kampung dan warga emas yang memerlukan bantuan seperti urusan pendaftaran, mengisi borang dan sebagainya. Selain itu, mereka juga boleh berperanan sebagai agen untuk menyebarkan maklumat vaksinasi kepada masyarakat sama ada secara langsung atau tidak langsung mengikut SOP yang telah ditentukan oleh MKN. Mereka boleh menggunakan segala kemahiran yang mereka ada terutama  berkaitan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instgram , Tik Tok dan sebagainya serta rekabentuk infografik.

Bagi menjayakan program sukarelawan di kalangan mahasiswa IPT, Majlis Perwakilan Pelajar ataupun persatuan dan kelab pelajar boleh bekerjasama dengan Unit Hal Ehwal Pelajar IPT untuk menganjurkan aktiviti kesukarelawanan di kalangan mahasiswa khususnya untuk membantu menjayakan program vaksinasi. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah kempen kesedaran kepentingan vaksin, bantuan untuk pendaftaran suntikan vaksin, promosi MyVAC di kalangan mahasiswa, sebagai kumpulan
sokongan (support group) di PPV dan lain-lain lagi.

Hakikatnya , golongan mahasiswa adalah golongan yang terpelajar. Mereka mempunyai kemampuan di sudut intelektual. Penglibatan dengan aktiviti masyarakat dan kesukarelawanan akan meningkatkan lagi kemahiran insaniah mereka. Oleh itu, mereka perlu digerakkan untuk bersama-sama membantu masyarakat dan kerajaan dalam program imunisasi Covid-19 kebangsaan ini. Bukan setakat program imunisasi ini sahaja, bahkan dalam apa sahaja aktiviti atau program bagi melawan penyebaran virus Covid-19 ini.

Dr Rozaini Othman
Pensyarah Kanan
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
Universiti Teknologi MARA
Cawangan Pulau Pinang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast