KUALA LUMPUR – Walaupun tahun 2020 merupakan tahun mencabar kepada ekonomi disebabkan pandemik Covid-19, enam negeri mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan.

Negeri-negeri tersebut ialah Pulau Pinang (+RM38.6 bilion), Sabah (+RM4.5 bilion), Pahang (+RM3.5 bilion), Kedah (+RM3.0 bilion), Kelantan (+RM969.7 juta) dan Perak (+RM294.8 juta).

Eksport Malaysia pada 2020 bernilai RM981.0 bilion pada tahun 2020, turun 1.4 peratus berbanding RM995.1 bilion pada tahun 2019.

Bagaimanapun, import juga mencatatkan penurunan 6.3 peratus kepada RM796.2 bilion pada 2020 berbanding RM849.4 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin

Penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah terutamanya oleh Sarawak (-RM15.5 bilion), Selangor (-RM11.3 bilion), Johor (-RM5.3 bilion), Sabah (-RM4.2 bilion), Kuala Lumpur (-RM3.4 bilion), Terengganu (-RM2.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM2.3 bilion), W.P. Labuan (-RM2.1 bilion), Kedah (-RM0.4 bilion) dan Perlis (-RM0.1 bilion).

Nilai eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM28.4 bilion, Pahang (+RM3.4 bilion), Perak (+RM2.0 bilion), Melaka (+RM0.5 bilion) dan Kelantan (+RM0.1 bilion).

Pada masa yang sama, penurunan import disebabkan oleh import yang lebih rendah daripada Selangor (-RM23.7 bilion), Johor (-RM19.7 bilion), Kuala Lumpur (-RM10.2 bilion), Melaka (-RM9.7 bilion), Negeri Sembilan (-RM6.1 bilion), Terengganu (-RM1.8 bilion), Perak (-RM1.7 bilion), Sarawak (-RM1.2 bilion), Perlis (-RM0.5 bilion) dan Labuan (-RM0.2 bilion).

Sebaliknya, nilai import meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM10.2 bilion, Sabah (+RM8.6 bilion), Kedah (+RM3.4 bilion), Kelantan (+RM0.9 bilion) dan
Pahang (+RM0.1 bilion).

Mohd Uzir menambah, sebanyak lima negeri mendominasi eksport Malaysia iaitu Pulau Pinang (31.8%), Johor (20.0%), Selangor (18.9%), Sarawak (6.7%) dan Perak (3.2%).

Eksport bagi lima negeri ini menyumbang sebanyak 80.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

Pada 2020, secara keseluruhan perdagangan Malaysia mencatatkan eksport bersih sebanyak RM184.8 bilion, peningkatan sebanyak 26.8 peratus berbanding tahun sebelumnya disumbangkan oleh eksport bersih yang tinggi terutamanya di Pulau Pinang (+RM124.4 bilion), Sarawak (+RM47.2 bilion), Johor (+RM39.7 bilion) dan Pahang (+RM15.1 bilion).

Manakala eksport bersih yang tinggi dicatatkan di Pulau Pinang dipacu oleh barangan elektrik & elektronik.

Eksport bersih yang tinggi dicatatkan di Johor disumbangkan oleh barangan elektrik & elektronik dan minyak kelapa sawit & hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit. Manakala gas asli cecair (LNG) dan minyak kelapa sawit penyumbang utama eksport bersih di Sarawak.

Batang besi dan keluli penyumbang utama di Pahang. – MalaysiaGazette