Pemandu berusia 34 tahun maut selepas kereta Honda City yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh konkrit pembahagi tol di Setia Alam hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh batu konkrit di Tol Plaza Setia Alam hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian itu berlaku pukul 3 petang tadi.

Semasa kejadian, mangsa berusia 34 tahun dalam perjalanan dari arah Setia Alam menuju ke pusat bandar Shah Alam.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City berwarna hitam  hilang kawalan dan merempuh batu konkrit pembahagi lorong tol Smart Tag Setia Alam di sebelah kiri.

“Akibat rempuhan kuat itu, kereta mangsa musnah sepenuhnya termasuk enjin manakala mangsa tersepit di bahagian pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu berusia 34 tahun dan tidak bekerja telah maut selepad kereta Honda City yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh konkrit pembahagi tol di Setia Alam dalam kejadian 3 petang tadi.

Tambah Baharudin,  pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat terpaksa memotong kenderaan tersebut sebelum mengeluarkan mangsa.

Namun mangsa yang tidak bekerja telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Baharudin juga memaklumkan mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

Polis menyiasat kejadian di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalam 1987.

Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif  Sukri di talian 014- 806 6744. -MalaysiaGazette