KUALA LUMPUR – Sebanyak10 lagi lokaliti di beberapa negeri diletakkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai Jumaat ini.
Dalam pada itu, satu lokaliti kawasan Felda dilanjutkan PKPD mulai 11 Jun ini dan tujuh kawasan ditamatkan bermula jam 12.01 tengah malam ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 10 lokaliti PKPD itu ialah masing-masing dua di Kudat, Sabah dan Tumpat, Kelantan, manakala enam lagi di Johor, Pahang dan Sarawak.
Katanya, di Kudat, Sabah melibatkan Kampung Singgahmata, Pulau Banggi dan Kampung Sin San, diikuti Johor (Felda Inas, Kulai), Pahang (Felda Tembangau 1 dan Tembangau 3, Bera serta Felda Jengka 7, Maran), satu lagi di Sabah (perumahan kilang Ladang Ong Yah Hoo, Kinabatangan), Sarawak (Kampung Sinar Budi Baru, Kuching) dan Kelantan (Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil).
“Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan berlaku peningkatan ketara dan mendadak kes positif Covid-19 di lokaliti berkenaan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 10 lokaliti ini bermula 11 Jun sehingga 24 Jun 2021.
“Pelaksanaan PKPD akan memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan lanjut dalam kawasan terlibat serta juga penularan keluar dari kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sementara itu, kawasan Felda Tersang 1, 2 dan 3 di Raub, Pahang yang sepatutnya ditamatkan tempoh PKPD tengah malam ini, akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 24 Jun ini, kerana masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk.
Dalam kenyataan itu juga, Ismail Sabri turut menyenaraikan lokaliti yang ditamatkan PKPD bermula jam 12.01 tengah malam ini.
Lokaliti itu, kata beliau, ialah Pangsapuri Permai dan Pangsapuri Sri Penara (Blok C dan D), Kuala Lumpur; Kampung Pirasan Ulu, Kota Belud, Sabah; Taman Sawit Balung, Tawau, Sabah; Mukim Perak dan Mukim Bangau di Temerloh, Pahang; Taman Dato’ Tengku Paris, Raub, Pahang; dan Pekan Kemayan, Bera, Pahang.
Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan PKPD selama dua minggu di lokaliti itu, tetapi kerana telah menunjukkan trend penurunan kes positif dan kluster terkawal, maka penguatkuasaan itu ditamatkan tengah malam ini. – MalaysiaGazette