Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan membawa keluar katak hidup dan ikan keli hidup tanpa permit sah

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan membawa keluar katak hidup dan ikan keli hidup tanpa permit sah ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang di sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah van yang diikrarkan membawa ikan basah di laluan lori pada jam 10 pagi.

“Hasil pemeriksaan pegawai penguasa menjumpai 20 kilogram (kg) katak hidup dan 20 kg ikan keli hidup bernilai RM2,300. Katak dan ikan disorokkan dengan ikan lain yang berpermit bagi mengelirukan pegawai bertugas semasa pemeriksaan.

“Susulan itu Maqis menahan pemandu van berumur 18 tahun sebelum dilepaskan setelah memberi kerjasama dan diambil rakaman percakapan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, semua barang dagangan berjumlah 40 kg tanpa permit tersebut ditahan sehingga siasatan selesai.

Menurutnya, perbuatan mengeksport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport sah daripada Maqis menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jelasnya, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali. – Malaysiagazette