Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah. Foto HAFIZ SOHAIMI, 25 MEI 2021.

PETALING JAYA : Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah membayar kompaun RM1,500 yang dikenakan ke atasnya ekoran melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, Ahli Parlimen Pasir Salak itu membayar kompaun tersebut pada jam 3.30 petang.

“Beliau sudah bayar kompaun itu (RM1,500) petang tadi di Pusat Komuniti Desa (PKD) Lembah Pantai di sini,” katanya dalam mesej Whatapps hari ini.

Ingkar SOP: Tajuddin dikompaun RM1,500

Tajuddin datang IPD Dang Wangi, bantu siasatan dakwaan langgar SOP

Menerusi kenyataan hari ini Mohamad Zainal menyatakan Pejabat Peguam Negara telah mengenakan tindakan kompaun terhadap Tajuddin kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Tajuddin dikompaun kerana gagal memakai pelitup muka semasa mengadakan sidang akhbar berkaitan insiden kemalangan tren di stesen transit aliran ringan (LRT) KLCC pada 25 Mei lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.-MalaysiaGazette