Ketua Polis Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman menampal notis penutupan pada Operasi Bersepadu Pematuhan Sektor Ekonomi PKP 3.0 pada salah sebuah kilang di Nilai, Negeri Sembilan. Foto HAFIZ SOHAIMI,10 JUN 2021.

NILAI – Sebuah kilang membuat papan tanda diarah menutup operasi serta merta kerana didapati membuat pengisytiharan palsu di sini hari ini.

Pihak kilang didakwa membuat pengisytiharan dalam permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai perkhidmatan penting atas nama produk Kluster Pembuatan (Selain Daripada Aeroangkasa dan Automotif) Sektor Mesin dan Peralatan.

Pemantauan MalaysiaGazette mendapati kebanyakan pengeluaran dan pembuatan papan iklan itu untuk pasaran tempatan selain mengeksport ke luar negara antaranya difahamkan ke negara Timur Tengah.

Selain itu, sebuah lagi kilang terlibat operasi kitar semula turut menerima nasib yang sama selepas membenarkan tenaga kerja melebihi kapasiti 60 peratus sepeti disyaratkan kerajaan.

Kedua dua kilang berkenaan beroperasi di kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kedua-dua kilang itu antara tiga premis perindustrian yang diserbu pihaknya selepas membuat risikan teliti dan menerima aduan mengenai status operasi premis-premis berkenaan dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Ketua Polis Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman membuat tinjauan SOP ketika Operasi Bersepadu Pematuhan Sektor Ekonomi PKP 3.0 pada salah sebuah kilang di Nilai, Negeri Sembilan. Foto HAFIZ SOHAIMI,10 JUN 2021.

Operasi Bersepadu Khas itu disertai pasukan polis  dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan serta Majlis Bandaraya Seremban melibatkan seramai 105 pegawai dan anggota.

“Hasil pemeriksaan teliti kami ke atas kilang pengeluaran papan iklan mendapati dia gagal mematuhi Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) yang ditetapkan MITI apabila bahan mentah adalah menghasilkan papan tanda, tetapi dia membuat permohonan pengisyiharan sebagai perkhidmatan penting.

“Lebih tepat adalah kilang itu mendapati beroperasi bukan dibawah sektor perkhidmatan penting yang dibenarkan apabila maklumat yang dinyatakan dalam CIMS tidak bertepatan berdasarkan pemeriksaan di lapangan.

“MITI telah mengeluarkan notis penutupan operasi kilang itu berkuatkuasa serta merta dan mereka diberi masa dua jam untuk melaksanakan arahan penutupan operasi itu dan turut didenda RM50,000 atas kesalahan itu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Dalam pada itu Mohd Fazley berkata, notis penutupan telah ditampal oleh MITI di pejabat kilang itu berkuatkuasa hari ini hingga 14 Jun ini.

Dalam satu lagi serbuan di kilang kitar semula di kawasan sama,  arahan penutupan serta merta hingga 16 Jun ini dikeluarkan oleh MITI kerana dikesan melakukan kesalahan membenarkan tenaga kerja melebihi kapasiti 60 peratus seperti ditetapkan kerajaan dan sepanjang tempoh PKP Penuh 3.0.

Justeru katanya, premis juga dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan gagal memastikan hanya individu berisiko rendah dibenarkan dalam premis dan selain pekerja tidak mengimbas kod QR MySejahtera.

“Dengan kesalahan pemalsuan pengisytiharan yang dilakukan dua kilang perindustrian ini semata-mata keuntungan tanpa takut dengan risiko jangkitan Covid-19 dan undang-undang kerajaan, polis memandang serius insiden ini.

“Kita akan mempertingkat strategi dan pemeriksaan mengejut seperti ini ke atas kilang perindustrian pada masa akan datang untuk memastikan pihak majikan mengambil serius tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa dan lebih bertanggungjawab selepas ini bagi membantu melandaikan rantaian Covid-19 yang kian turun naik secara tidak konsisten sejak beberapa hari kebelakangan ini,” katanya.

Menyentuh mengenai pematuhan dan tindakan PKP Penuh sejak 1 Jun lalu, pihak IPD Nilai telah mengeluarkan sebanyak 113 kompaun ke atas orang awam melibatkan sebanyak 189 jenis kesalahan pengingkaran prosedur operasi standard (SOP) di daerah tersebut.

“Lima daripada jumlah berkenaan adalah kompaun kesalahan merentas negeri tanpa dokumen sah serta pelbagai kesalahan lain yang keseluruhan jumlah nilai kompaun adalah RM181,500.

“Mengikut pecahan kesalahan PKP itu, tiada penjarakan fizikal membabitkan 80 kes, tidak memakai pelitup muka 71 kes, tidak mengimbas kod QR MySejahtera adalah 25 kes, satu kes gagal kuaranti kendiri, empat kes melakukan aktiviti terlarang sepanjang PKP, dan tiga kesalahan menaiki kenderaan melebihi kapasiti yang dibenarkan.

“Secara purata kita menerima sebanyak 150 permohonan sehari dan 10 peratus daripadanya ditolak kerana gagal mematuhi syarat permohonan yang ditetapkan pihak berkuasa dan setiap permohonan rentas negeri di balai polis kami diteliti dan ditapis berdasarkan senarai yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara,” tegasnya.- MalaysiaGazette