MPPH berpendirian perlu tubuhan badan bebas siasat Azam Baki.

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak bulat-bulat cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kembali Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mereka tetap mahu sidang Parlimen dibuka semula sebagaimana yang dikehendaki sebelum ini.

“Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan Mageran ini berdasarkan pendirian konsisten kami bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” kata ketiga-tiga mereka dalam kenyataan rasmi hari ini.

Semalam, Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mencadangkan supaya ditubuhkan Mageran bagi menangani pelbagai masalah yang berlaku dalam negara.

Mahathir berkata, keadaan yang tidak menentu ketika ini lebih-lebih lagi pandemik Covid-19 yang semakin mengganas memerlukan penubuhan Mageran itu disegerakan.

Malah cadangan itu antara intipati yang diperjelaskan oleh beliau ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di sini semalam.

Mahathir turut berkata, penubuhan Mageran adalah untuk menyelesaikan kemelut ekonomi, sosial dan langkah itu pernah dilakukan di negara ini pada tahun 1969.

Untuk rekod, Majlis Gerakan Negara (Mageran) merupakan badan pentadbir Malaysia pada zaman darurat berikutan peristiwa 13 Mei selepas sistem kerajaan berparlimen di Malaysia digantung.

Jabatan Perpaduan Negara di bawah Mageran telah diwujudkan bagi menangani isu-isu pembinaan semula perpaduan masyarakat pada masa itu.

Semasa pentadbirannya, Mageran telah membentuk prinsip Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan Malaysia sehingga hari ini.

Mageran dibubarkan pada tahun 1971 dengan pemulihan Parlimen. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pejuang cadang kepada Agong supaya tubuh Mageran