Sheng Tai International Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah, Sheng Tai International Sdn. Bhd. (Sheng Tai International), hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pengeluar utama sarung tangan getah dan nitril Malaysia, KenTeam International Sdn. Bhd. (KenTeam).

Ia adalah bagi Sheng Tai International mengambil alih 110 barisan pengeluaran daripada hab sarung tangan KenTeam seluas 90 ekar di Jasin, Melaka.

Kapasiti pengeluaran bagi setiap satu barisan pengeluaran dijangka mencecah tiga juta kotak setahun apabila pembinaan hab itu siap.

Oleh itu, jumlah keseluruhan kapasiti pengeluaran bagi kesemua 110 barisan pengeluaran ialah 330 juta kotak setahun.

Majlis MOU yang berlangsung secara maya antara Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley dan Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam, Datuk Seri Justin Lim diadakan bagi merasmikan perkongsian eksklusif itu.

Majlis tersebut turut disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

“Perkongsian ini merupakan pencapaian besar bagi kami di Sheng Tai International.”

“Ia menyediakan pintu masuk bagi Sheng Tai International ke dalam industri pembuatan sarung tangan nitril yang pesat tumbuh disebabkan Covid-19 dan jangkitan-jangkitan penyakit lain.” kata Leong pada sidang media secara maya selepas majlis tersebut.

Dalam pada itu Leong berkata, beliau menjangka permintaan bagi sarung tangan nitril akan terus meningkat ketika pasca Covid-19.

“Peningkatan besar penyakit kronik, selain pertambahan kesedaran terhadap perlindungan kesihatan terutama dalam kalangan generasi emas akan terus mencetuskan permintaan bagi sarung tangan nitril.

“Kami percaya kemasukan kami ke dalam industri sarung tangan nitril bukan sahaja akan membawa perolehan positif kepada Sheng Tai International tetapi juga mengukuhkan komitmen kami untuk menjaga kesejahteraan negara, terutama Melaka, ekonomi dan kesihatan.

“Bergerak ke hadapan, Sheng Tai International akan terus bekerja bersama Kerajaan negeri untuk menarik peluang perniagaan ke Melaka melalui kerjasama strategik dengan jenama antarabangsa, bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan komuniti di sekitar, terutama semasa waktu penuh mencabar ini,” katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sheng Tai International telah membawa pelbagai jenama antarabangsa seperti IWG, Memorigin dan FashionTV untuk melabur di Melaka menerusi mercu tanda Metrasquare dan The Sail. – MalaysiaGazette