Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran 4.09 hingga 4.11 minggu depan apabila Malaysia menyasar mencapai sasaran 150,000 suntikan dos vaksin COVID-19 setiap hari, kata seorang penganalisis.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim yang memetik data terkini daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, sejak 8 Jun jumlah suntikan dos vaksin COVID-19 di Malaysia melebihi 150,000 dos setiap hari.

“Trend berterusan vaksinasi seperti itu adalah amat penting bagi memastikan negara dapat menghampiri sasaran imuniti kelompok.

“Usaha imuniti kelompok yang pantas akan membawa kepada pembukaan semula aktiviti perniagaan secara besar-besaran,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Adam berkata, berita Arab Saudi menarik kembali komitmen pengurangan pengeluaran sukarelanya akan boleh menyebabkan penurunan harga minyak yang seterusnya mengehadkan sebarang kenaikan ringgit.

Ketika ini, minyak mentah penanda aras Brent meningkat 0.23 peratus kepada US$72.69 setong.

Pada Jumaat, ringgit mengukuh ke paras 4.10 berbanding dolar AS apabila data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan sudah mencukupi untuk meyakinkan pelabur bahawa peningkatan harga mungkin hanya sementara waktu sahaja.

Inflas AS melonjak kepada kadar tertinggi sejak 2008 di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata melihat kepada angka itu secara keseluruhannya, jelas inflasi meningkat namun tidak setinggi seperti yang dibimbangkan dan itulah alasan utama mengapa dolar tidak meningkat lebih kukuh berbanding ringgit.

Namun katanya, petunjuk makroekonomi utama adalah pada Khamis minggu depan apabila tumpuan terarah kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang sepatutnya memberikan gambaran mengenai langkah dasar monetari Fed yang seterusnya.

“Juga pada Khamis adalah pengumuman keputusan kadar faedah. Walaupun kadar dijangka tidak berubah, bayangan daripada FOMC menunjukkan bahawa ia mungkin mengkajinya dengan berhati-hati dan ini boleh menyebabkan peningkatan kemudahruapan.

“Sekiranya FOMC tidak begitu memberi perhatian kepada inflasi dalam laporannya, dolar AS dijangka terus lemah berbanding ringgit dan unit tempatan dijangka boleh mencecah paras 4.0950 dalam masa beberapa hari,” katanya.

Bagi asas mingguan, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.1070/1100 daripada 4.1275/1285 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali yen.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.7500/7531 daripada 3.7482/7494 pada minggu sebelumnya, namin ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8094/8140 daripada 5.8313/8327.

Unit tempatan juga naik berbanding euro kepada 4.9908/9945 daripada 5.0013/0025 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1034/1059 daripada 3.1076/1086. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast