Tabung haji
Orang ramai diminta tidak menyerahkan sebarang deposit kepada mana-mana pihak selagi tidak mendapat surat tawaran.

KUALA LUMPUR – Selaras dengan keputusan muktamad kerajaan Arab Saudi bahawa tiada jemaah negara luar termasuk Malaysia yang akan dibenarkan ke Tanah Suci – Tabung Haji (TH) hari ini mengambil keputusan untuk menangguhkan segala operasinya berkaitan.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, keputusan itu diambil atas faktor keselamatan dan kesihatan semua.

“Walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir, TH menerima keputusan yang
telah dibuat oleh pihak Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.

“Keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia tahun ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19.

“TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah negara ini sejak dahulu,” menurut beliau dalam satu kenyataan.

Jelas Amrin, keputusan itu diambil selaras dengan penangguhan ini dibuat setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, semalam.

TH dalam pada itu juga menyokong sepenuhnya keputusan yang diambil Kerajaan Malaysia dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang lalu.

“Bagi bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada tahun 2020 dan telah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada tahun 2021, mereka sekarang akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2022.

“Bagi bakal haji yang gilirannya pula adalah pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada tahun 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” tambah beliau lagi.

Badan penyelaras haji rakyat Malaysia itu juga turut menasihati umat Islam di Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

“TH memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim-musim hadapan,” kata Amrin.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam berkata tidak akan menghantar jemaah haji bagi musim 1442 Hijrah.

Ia berikutan keputusan Arab Saudi hanya membenarkan warganegaranya dan penduduk negara lain yang telah berada di dalam negara itu sahaja menunaikan ibadat itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini – Dr Zulkifli