Gambar hiasan

RUANG dan peluang boleh diberikan kepada semua warga universiti awam khususnya dalam kalangan ahli akademik untuk memilih mana-mana individu yang difikirkan sesuai untuk menjadi naib canselor atau rektor universiti mereka sendiri melalui proses undian. Ini susulan timbulnya isu kelewatan proses pengisian jawatan berkenaan di beberapa buah universiti awam dalam negara kita seperti yang telah dilaporkan oleh pihak media. Jawatan naib canselor atau rektor adalah satu jawatan yang paling penting sekali untuk sesebuah universiti kerana mereka yang akan menentukan perjalanan dan hala tuju sesebuah universiti yang terajui oleh mereka.

Individu yang dilantik ke jawatan ini perlu terdiri daripada individu yang benar-benar sesuai, layak dan memiliki tahap kesungguhan untuk membawa universiti yang diterajui oleh mereka ke arah kecemerlangan. Tidak mudah untuk memikul jawatan tertinggi dalam sesebuah universiti ini, seseorang itu berkemahiran, berpengalaman dan memiliki kepercayaan yang tinggi dalam kalangan warga universiti yang dikemudikan oleh mereka.

Siapakah naib canselor? Menurut Seksyen 2, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 [Akta 30] naib canselor ertinya naib canselor, presiden, rektor atau pengarah universiti itu dan termasuklah mana-mana orang lain, dengan gelaran apa jua disebut, yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif universiti itu dan timbalan naib canselor hendaklah ditafsirkan sewajarnya.

Berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 [Akta 30] juga, seseorang naib canselor hendaklah menjadi ketua pegawai eksekutif dan bertanggungjawab bagi keseluruhan fungsi pentadbiran, akademik dan pengurusan serta hal ehwal universiti. Selain itu, naib canselor juga hendaklah menjalankan pengawasan am ke atas semua aktiviti pengajaran, penyelidikan, kewangan, pentadbiran, kebajikan dan aspek tata tertib di universiti serta boleh menjalankan apa- apa kuasa lain sebagaimana diberikan kepadanya oleh AUKU 1971 [Akta 30] dan mana-mana peruntukkan undang- undang, kaedah dan peraturan sedia ada.

Pada ketika ini terdapat banyak universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Bagaimana proses lantikan naib canselor untuk sesebuah universiti ini dilakukan? Menurut Seksyen 4A Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 [Akta 30] “Bagi maksud memilih orang yang layak dan sesuai bagi jawatan naib canselor atau bagi mana-mana jawatan lain yang menteri mempunyai kuasa untuk melantik di bawah akta ini, menteri hendaklah, dari semasa ke semasa, melantik suatu jawatankuasa untuk menasihatinya mengenai pelantikan itu”.

Menteri di sini ertinya menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi proses pengajian tinggi dalam negara kita. Terdapat beberapa proses saringan dan temuduga dilakukan sebelum seseorang individu itu dilantik sebagai seorang naib canselor atau rektor sesebuah universiti. Terdapat juga beberapa syarat atau kriteria ditetapkan oleh pihak kementerian dan universiti untuk dipenuhi sebelum seseorang itu dilantik sebagai seorang naib canselor atau rektor universiti.

Bagi memastikan individu yang dipilih ke jawatan penting ini adalah benar- benar sesuai dan menerima kepercayaan penuh dari semua warga universiti, ruang dan peluang perlu diberikan kepada setiap warga universiti yang terlibat untuk melakukan proses pengundian bagi memilih mana- mana individu yang difikirkan sesuai untuk menerajui universiti mereka. Warga universiti lebih mengetahui individu yang sesuai untuk menjadi pemimpin mereka. Mana-mana individu yang berkelayakan dalam universiti yang terlibat boleh menawarkan diri mereka sebagai calon naib canselor atau rektor. Kemudian proses debat boleh dilakukan di antara calon-calon yang telah menawarkan diri mereka untuk bertanding bagi memudahkan pengundi mengenalpasti mana-mana calon yang sesuai untuk diberi undi kelak.

Setiap warga universiti boleh memberi undi mereka terhadap mana-mana calon yang mereka ingini pada tarikh undian yang telah ditetapkan. Dengan adanya proses undian ini, ia dapat memastikan individu yang dipilih menjalankan segala tugas dan amanah yang telah diberikan kepada mereka dengan lebih baik. Individu yang dipilih melalui kaedah undian ini juga akan lebih dihormati oleh setiap warga universiti mereka sendiri kerana kuasa yang telah diberikan
kepada mereka datang terus dari warga universiti yang telah memilih mereka melalui proses undian. Melalui kaedah undian ini juga, proses demokrasi dapat disemai dalam kampus dengan lebih baik lagi sekali gus meningkatkan tahap keyakinan orang ramai terhadap universiti itu sendiri serta kualiti produk yang dihasilkan oleh universiti berkenaan.

Dengan adanya proses undian ini, ia juga dapat meningkatkan lagi tahap kualiti sektor pendidikan peringkat tinggi yang ada dalam negara kita. Cadangan proses pengundian terhadap jawatan naib canselor dan rektor universiti ini juga perlu dilakukan terhadap jawatan timbalan mereka sekali. Setiap cadangan yang dikemukakan ada kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri, oleh itu pihak kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan diatas ini dengan lebih teliti.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)