KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan penempatan baharu empat pegawai kanannya di beberapa posisi penting jabatan itu berkuatkuasa hari ini.
Mereka ialah Pengarah Kanan Bahagian Dasar Jakim, Datuk Selamat Paigo dinaikkan pangkat Ketua Pengarah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim.
Dua lagi pegawai kanan yang terlibat ialah Ketua Pengarah JAWHAR, Ruslan Said ke jawatan Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jakim, dan Pengarah Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Dr. Muhammad Yamin Ismail dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kemajuan Islam, Jakim.
Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh, proses penempatan pegawai kanan ini dibuat agak teliti dan diperakukan Jabatan Perkhidmatan Awam
“Awal pagi tadi, dalam majlis sederhana secara maya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengumum dan menyampaikan surat pemakluman mengenai penempatan pegawai kanan Jakim ini.
“Semua penempatan ini berkuatkuasa mulai 14 Jun 2021, iaitu hari ini dan selaku Ketua Jabatan dan Ketua Perkhidmatan Pegawai Hal Ehwal Islam, mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai yang terlibat.
“Semoga mereka semua dapat memberikan komitmen terbaik bagi meningkatkan perkhidmatan hal ehwal Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri, Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri.
Kata Abdul Aziz, dalam masa terdekat ini akan ada lagi pengumuman bagi pengisian Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan, Pengarah Kanan ILIM dan jawatan yang dikosongkan berikutan pergerakan itu. – MalaysiaGazette