Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin menunjukkan laporan polis di hadapan IPD Melaka Tengah, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) menggesa polis menyiasat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri takiyuddin Hassan mengenai nasihat Kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tentang kedudukan tempoh darurat.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin mendakwa, kenyataan Takiyuddin itu adalah salah satu cara untuk menghasut orang ramai  bertindak terhadap Agong sekiranya baginda memutuskan sesuatu yang bertentangan atau tidak selari dengan kehendak Kabinet.

“Kami percaya bahawa kenyataan Takiyuddin itu telah menyimpang daripada Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021 yang memperuntukkan hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa bebas untuk menasihati YDPA.

“Ia mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19.

“Sekiranya wujud kecenderungan ke arah itu, ianya merupakan kesalahan jelas di sisi undang-undang dan kami gesa untuk Takiyuddin disiasat segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut membuat laporan Ketua Pemuda  Parti Amanah Negara (PAN) Melaka, Muhammad Kamal serta Ahli Jawatankuasa Pemuda PH, Haziq Norizan dan Shahrul Shahabudin.

Sabtu lalu, Takiyuddin berkata, Kabinet bertanggungjawab menasihatkan Agong sama ada darurat perlu dilanjutkan atau sebaliknya.

Katanya, baginda bertindak atas nasihat Kabinet mengikut Perlembagaan Persekutuan ketika darurat diisytiharkan pada Januari lalu bagi menangani Covid-19.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuat kuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast