Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pelan Pemulihan Negara merupakan strategi untuk negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyambut baik pelan yang diumumkan oleh Perdana Menteri berkata, antara yang memberi keyakinan adalah bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos yang dijangka diterima pada hujung Julai ini.

Selain itu kata beliau, kadar pemberian vaksin setiap hari turut memberi keyakinan terhadap kejayaan pelan berkenaan.

“Parlimen pula dijangka boleh bersidang pada fasa ketiga dengan kawalan SOP yang ketat.

“Semoga usaha ini dapat mengurangkan jangkitan wabak Covid-19 serta meringankan beban rakyat yang terjejas dari sudut ekonomi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan Pelan Pemulihan Negara berkata ia adalah strategi peralihan berfasa keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 yang melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Pelan itu, katanya, mempunyai empat fasa dengan tiga petunjuk atau ‘Tiga Indikator Ambang Utama’.

Indikator pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.

Kedua, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).

Ketiga pula adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin – MalaysiaGazette