Dua rakan baik, Nor Fazrina Fazrin Hassan (kanan) dan Iffah Irdina menunjukkan menu istimewa iaitu pulut kuning dan latte gula melaka di gerai mereka yang berkonsepkan minimalis di Pulut & Kopi Roadside, Bandar Teknologi Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2021.

KAJANG – Inspirasi dari gerai kopi jalanan di negara Jepun mendorong dua sahabat baik untuk mengusahakan perniagaan kopi dan pulut kuning yang kini semakin mendapat perhatian pelanggan di sekitar daerah ini.

Siapa sangka gerai jalanan dengan sebuah payung putih dan meja kecil itu sebenarnya menghidangkan kopi ais serta pulut kuning yang enak hasil air tangan dua gadis yang juga merupakan penuntut Sarjana di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Iffah Irdina, 27, pelajar jurusan Statistik dan rakannya, Nor Fazrina Fazrin Hassan, 27, pelajar jurusan Media Baharu dan Visual mula berjinak-jinak memulakan perniagaan berkonsepkan minimalis itu sejak tiga bulan yang lalu.

Namun jelas kedua-dua gadis itu, kesibukan berniaga tidak sesekali menghalang mereka untuk terus fokus dalam tugas hakiki sebagai seorang pelajar.

Menu minuman kopi yang terdapat di Pulut dan Kopi Roadside, Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2021.

Menurut Iffah Irdina yang berasal dari Kedah, mereka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mendalami selok-belok perniagaan serta cara-cara menghasilkan kopi yang enak dari pakar kopi serta barista.

“Idea untuk mula buka gerai ini terinspirasi dari ‘street coffee’ yang kami lihat ketika bercuti di Jepun kerana di negara tersebut tidak banyak kafe tetapi mereka lebih kepada gerai kopi di tepi jalan.

“Selain itu, kami mahu normalisasikan trend ini di Malaysia maka tercetus lah idea Pulut dan Kopi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bandar Teknologi Kajang hari ini.

Pulut kuning yang terjual 200 bungkus sehari antara juadah yang menjadi tumpuan pelanggan di Pulut dan Kopi Roadside, Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2021.

Berkongsi lanjut, Iffah Irdina berkata, mereka berdua sudah lama mengusahakan perniagaan pulut kuning bersama rendang yang dihantar terus ke rumah pelanggan berdasarkan tempahan yang diterima.

“Sebab itu kami fikir apa salahnya digabungkan kedua-dua menu ini iaitu kopi dan pulut kuning kerana ia merupakan makanan kegemaran orang zaman dahulu.

“Misalnya orang tua dulu macam mak saya habis sahaja mengaji dia suka menjamah pulut bersama air kopi, jadi perniagaan kami ini ibarat mengimbau kembali nostalgia,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai sambutan daripada pelanggan, Iffah Irdina berkata, dia bersama Nor Fazrina tidak menang tangan untuk melayan pelanggan yang semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.

Tambah Iffah Irdina, ada sebilangan pelanggan yang datang kembali ke gerai mereka dan memberikan maklum balas yang positif mengenai kopi serta makanan yang dijual.

Pengusaha Pulut dan Kopi Roadside, Iffah Irdina (kiri) dan Nor Fazrina Fazrin Hassan sibuk menyiapkan kopi yang dipesan pelanggan mereka di Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2021.

“Masa mula-mula beroperasi, orang ramai menghampiri kami kerana mereka sendiri tertanya-tanya apa yang kami buat di tengah panas dengan payung berwarna putih dan sejak itu barulah semakin ramai pelanggan yang datang.

“Kami kenalkan kepada pelanggan beberapa jenis pilihan minuman yang ada seperti Americano, Latte, Gula Melaka Latte, Caramel Latte, Salted Caramel Latte manakala pulut kuning kami pula boleh dipadankan dengan rendang daging, ayam atau pun sambal ikan bilis petai.

“Minuman dan makanan yang dijual bermula dengan harga serendah RM3.50 sehingga RM7 dan kesemuanya merupakan menu mampu milik serta ringkas,” katanya.

Jelas Iffah Irdina, pada hari biasa mereka akan menjual kira-kira 200 bungkus pulut bersama rendang dan jumlah tersebut akan digandakan pada hujung minggu.

Katanya lagi, pulut kuning itu merupakan hasil air tangan mereka sendiri dengan dibantu oleh ibu Nor Fazrina.

“Kesemua makanan yang dijual kami masak dan bungkus di rumah sebelum bawa ke gerai jadi memang tak larat untuk buat lebih daripada kemampuan kerana selepas selesai berniaga kami kena beli stok barangan basah pula untuk persediaan keesokan hari,” katanya.

Menurutnya, Pulut dan Kopi dibuka setiap hari Sabtu hingga Khamis bermula dari pukul 11 pagi dan gerai mereka boleh ditemui dalam aplikasi Waze. – MalaysiaGazette