Ketua Pemuda PH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam (tengah) bersama Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin (kiri) menunjukkan laporan polis yang telah dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana derhaka kepada titah Yang Dipertuan Agong ketika di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) menggesa polis menyiasat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwa memperlekeh pandangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) supaya menyegerakan sidang Parlimen.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin mendakwa, perlakuan seumpama itu merupakan kali kedua dilakukan Takiyuddin yang mendahului Istana Negara.

“Ini adalah kali kedua Takiyuddin memandai-pandai memberikan komentar skop yang sepatutnya tidak patut sentuh.

“Kita minta supaya kebiadapan dan keceluparan Menteri Kabinet ini dihentikan.

“Siasat sejauh mana ia benar-benar menyalahi aturan sebagai seorang menteri,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Semalam, Takiyuddin menyifatkan tempoh persidangan Parlimen yang dicadangkan pada September atau Oktober, selari dengan titah YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun Takiyuddin berkata, YDPA tidak menitahkan tarikh mahupun bulan tertentu untuk memulakan sidang Dewan Rakyat.

Kenyataan Takiyuddin itu disiarkan dalam satu wawancara menerusi Facebook Harakahdaily.net malam tadi.

Berikutan itu, Shazni Munir berkata, pihaknya sudah meminta Pemuda PH di seluruh negara supaya membuat laporan polis yang sama.

Sebagai permulaan, tiga laporan polis dibuat serentak hari ini iaitu di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, di Kedah dan Melaka berhubung kenyataan Takiyuddin itu.

“Sebagai seorang Menteri yang tahu mengenai undang-undang, Takiyuddin sepatutnya mengambil masa untuk mengkaji titah Yang di-Pertuan Agong.

“Kamu (Takiyuddin) ialah seorang Menteri bukan budak sekolah, teliti dan tengok setiap patah titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara dan Penyimpanan Mohor Besar Raja-Raja Melayu.

“Sebab itu bagi kenyataan Takiyuddin menunjukkan beliau bersikap sambil lewa,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya Takiyuddin mempunyai niat untuk memperlekehkan dan mempertikai titah YDPA, sebagai seorang Menteri ia adalah satu kesalahan amat berat.

Shazni Munir turut menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah kerajaan yang gagal seperti dinyatakan dalam titah YDPA semalam.

“Kalau diteliti titah YDPA semalam dari atas sampai ke bawah setiap perenggan menceritakan mengenai kegagalan kerajaan.

“Sebab itu Pemuda PH menggesa Parlimen dibuka secepat mungkin. Kalau tiada keupayaan, maka saya ulangi gesaan Majlis Presiden PH supaya Perdana Menteri dan Kabinetnya berundur secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, beliau turut terpanggil membuat laporan polis selepas mendapati kebiadapan Takiyuddin itu.

“Bagaimanapun, dalam wawancara malam tadi Takiyuddin menyatakan Parlimen hanya akan bersidang pada September atau Oktober nanti.

“Ini bukan sesegera mungkin tapi tangguh, ada tempoh untuk membeli Ahli Parlimen lain bagi menyokong dan memastikan kerajaan sekarang yang berada di hujung tanduk akan terus bertahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast