PUTRAJAYA – Buli siber perlu dilihat sebagai isu pendidikan dan kesejahteraan murid selepas kadar buli siber yang dilaporkan pelajar Malaysia didapati lebih tinggi berbanding purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dapatan Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 menunjukkan hubungan antara buli siber dengan pencapaian pembelajaran yang lebih rendah.
Katanya, perkembangan teknologi menyebabkan pengalaman membuli tidak lagi terhenti di pintu pagar sekolah.
“Buli di sekolah mungkin berhenti apabila seorang anak pulang. Buli siber boleh pulang bersamanya.
“Sebab itu keselamatan dan kesejahteraan bukan perkara sampingan kepada pendidikan,” katanya pada sidang media sempena Pengumuman PISA 2025 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini, hari ini.
Beliau berkata, murid yang sentiasa berada dalam keadaan takut atau terluka akan berdepan kesukaran untuk belajar dan berkembang.
Menurutnya, dunia kanak-kanak hari ini tidak lagi terhad kepada sekolah, sebaliknya turut merangkumi telefon, kumpulan sembang dan pelbagai ruang digital.
Justeru, katanya, setiap murid perlu mengetahui bahawa mereka mempunyai orang dewasa yang sanggup mendengar, mempercayai dan bertindak apabila berlaku sesuatu terhadap mereka.
“Perlindungan kanak-kanak perlu mengambil kira realiti kehidupan digital generasi hari ini, termasuk risiko yang wujud di ruang siber,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















