Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad menyegerakan pembukaan semula sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Pengerusi PH Johor,  Aminolhuda Hassan berkata, gesaan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menzahirkan agar sidang Dewan Rakyat dan DUN turut bersidang dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, pembukaan semula sidang DUN dilihat penting bertujuan membincangkan masalah yang berlaku bagi pemulihan semula Johor.

“Peringkat negeri juga harus melihat setiap perkara bagi memenangkan rakyat yang semakin terhimpit dengan isu Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan.

“Justeru, penilaian untuk membuka semula sidang DUN harus diperhalusi dan diangkat bagi membolehkan pandangan daripada pelbagai pihak didengar serta dilaksanakan demi kebaikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) dan Ketua Pembangkang Johor berkata, pembukaan semula sidang DUN Johor bukanlah sesuatu  luar biasa.

Ini kerana jelasnya, Johor sebelum ini pernah membuktikan bahawa kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 26 ahli Parlimen mampu berbincang memberikan pandangan berhubung langkah membantu rakyat ketika Covid-19.

“Pembukaan semula sidang DUN akan membuktikan kematangan wakil rakyat Johor dalam menyambut seruan dan titah Yang di-Pertuan Agong dalam usaha mengembleng semua tenaga, usaha dan idea daripada pelbagai pihak yang tentunya mempunyai pendapat mereka tersendiri.

“Saya sekali lagi mencadangkan agar Menteri Besar Johor mempertimbangkan pembukaan semula sidang DUN bagi memperkuatkan lagi usaha dalam membantu rakyat,” katanya.-MalaysiaGazette