Barang rampasan dari dua suspek yang niatnya mencuri kabel kilang terbiar memakan diri apabila kedua-dua kaki salah seorang suspek patah selepas terjun dari tingkat tiga ketika ditangkap polis.

KUALA LUMPUR – Niat buruk akhirnya makan diri!

Itu nasib salah seorang daripada dua lelaki yang menceroboh sebuah kilang perindustrian memproses plastik di Kuala Langat dekat sini untuk mencuri tetapi patah kedua-dua kaki selepas terjun dari tingkat tiga di bangunan tersebut baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kedua-dua suspek yang berniat mahu mencuri kabel dan perabot itu ditahan pihaknya.

Kilang berkenaan terletak dii Jalan Waja 14, Kawasan Perindustrian Telok Panglima Garang.

“Dalam kejadian sekitat 4.35 petang pada 18 Jun lalu, bertindak atas maklumat awam pasukan kami telah bergegas ke lokasi kejadian dan terlibat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kilang terbiar itu, dua suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri. Salah seorang suspek terjun dan patah kedua-dua kakinya ketika cuba lari daripada ditangkap polis.

“Manakala suspek kedua pula ditemui polis bersembunyi di bawah meja pejabat kilang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, polis juga merampas peralatan pecah rumah dan curi kabel seperti gergaji besi, pemotong wayar, pencabut paku, player grip, tukul kuku kambing, pisau, gunting serta pemutar skru dari kedua-dua suspek.

Kedua-dua suspek berusia 28 dan 36 tahun didapati tinggal di kawasan perumahan yang berhampiran dengan kilang perindustrian itu.

“Semakan polis mendapati salah seorang suspek mempunyai lima rekod kesalahan jenayah lampau pecah rumah dan curi. Mereka telah direman di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting empat hari dan ditahan di lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis daerah Kuala Langat.

“Manakala suspek patah kaki dan dirawat di Hospital Banting telah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 379/511 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dilengkapkan dan diangkat kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut. -MalaysiaGazette