Datuk Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

MALAYSIA  kecoh dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan tafsirannya tentang titah Yang Di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Datuk Seri Takiyuddin menyatakan bahawa Tuanku tidak memperincikan bila persidangan parlimen perlu diadakan dan berpandangan bahawa perkataan yang digunakan oleh Tuanku adalah “persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.”

Secara undang-undang, adalah tidak sukar untuk menghadam dan memahami situasi yang berlaku.

Pertama sekali, terdapat sesetengah yang berpandangan kononnya bahawa hanya Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sahaja yang mempunyai kuasa untuk menentukan bila sebenarnya sidang parlimen harus dimulakan. Hal ini telah dihujahkan dengan merujuk Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Tuanku hendaklan bertindak atas nasihat kabinet.

Pada hemat saya, perkara ini sebenarnya adalah kurang tepat dan dapat disangkal secara undang-undang dengan merujuk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, melalui Seksyen 14(1) dinyatakan :

Persidangan Parlimen

  1. (1) Bagi tempoh darurat berkuat kuasa-

 (a) Peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan; dan

(b)Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, selagi mana darurat masih berlangsung, maka undang-undang ini adalah terpakai.

Adalah terang lagi bersuluh bahawa segala perkara yang melibatkan tindakan untuk memanggil parlimen supaya bersidang adalah mesti menurut undang-undang darurat yang dibuat oleh pihak kerajaan sebelum ini.

Dalam kata mudah, Tuanku Yang Di-Pertuan Agong telah membuat suatu tindakan yang wajar, sah dan menurut intipati undang-undang sebagai Raja Berperlembagaan.

Kedua, ramai yang mengkritik keras kenyataan Datuk Takiyuddin tentang tafsirannya itu. Seperkara yang menarik, Datuk Takuyiddin secara teknikalnya adalah tidak salah.

Jika membaca peruntukan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat, Tuanku sememangnya diberi kuasa oleh undang-undang yang dibuat oleh kerajaan memerintah untuk memanggil sidang parlimen pada “suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai”.

Oleh itu, pendapat Datuk Takiyuddin bahawa tiada perincian dalam titah Tuanku adalah tidak boleh dikatakan salah 100%.

Dalam isu ini, Tuanku Yang Di-Pertuan Agong boleh untuk memberikan suatu tarikh sebagai suatu tindakan untuk menguatkuasakan peruntukan Seksyen 14 Ordinan Darurat tersebut secara tegas.

Selanjutnya, harus diingatkan bahawa kerajaan memerintah harus mematuhi undang-undang yang digubal olehnya sendiri kerana darurat masih lagi berkuatkuasa.

Parlimen tidak boleh terus dibiarkan bersawang kerana suara rakyat akan dibungkam dan didiamkan. Walaupun secara teknikalnya kenyataan Datuk Takiyuddin itu adalah tidak salah, tetapi titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong juga harus dilaksanakan dengan kadar segera demi kemaslahatan negara dan rakyat yang sedang berdepan dengan suatu malapetaka besar Covid-19.

Akhir sekali, saya ingin menyatakan bahawa Perbincangan khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 lepas berkenaan isu pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu turut sama bersekutu memelihara piagam pembelaan rakyat yang memelihara antara satu sama lain seperti yang pertama kali dibuat oleh Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba di zaman purba dahulu. Daulat Tuanku!

Khairul Naim Rafidi
Penulis merupakan Peguambela dan Peguamcara di Tetuan Khairul Naim Rafidi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Wah!!! hakim mana plak ni yg kata tak salah…salah tak salah mahkamah yang tentukan…bukannya media…ker mahkamah bersidang dlm media??

Comments are closed.