KUALA LUMPUR – Beberapa artis tempatan yang menghadiri Majlis Berbuka Puasa Rapatkan Saf 2021 dan penganjurnya dikenakan kompaun berjumlah RM19,000.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara mendapati kesemua selebriti melanggar SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Enam individu iaitu Nurin Afiqah Zulkifli, Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Helmi, Ahmad Faizal Yaakob, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid dan Siti Nur Iman Alyssa Sahabuddin (Iman Troye) dikompaun berjumlah RM9,000 iaitu RM1,500 setiap seorang.
“Ini kerana mereka gagal memakai pelitup muka sewaktu berada di Hotel The Westin, Bukit Bintang Kuala Lumpur untuk Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021,” katanya dalam kenyataan sambil menambah ia diadakan pada 29 April lalu.
Baca: Polis buka kertas siasatan Instafamous langgar SOP
Majlis berbuka puasa: 12 artis termasuk penganjur beri keterangan – Polis
Video pengingkaran SOP membabitkan artis berkenaan yang tular pada awal Mei itu.
Dalam pada itu, menurut Mohamad Zainal, polis turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 ke atas Ariz Ramli dari Syarikat Rindu Raudah Sdn Bhd selaku penganjur majlis berbuka puasa itu kerana gagal memastikan tetamu yang hadir memakai pelitup muka.
Katanya, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah RM19,000 ke atas kesemua tujuh individu itu.
“Polis menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi wabak Covid-19.,” katanya. – MalaysiaGazette