Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

KUALA LUMPUR – Kerajaan boleh membantu menambah semula caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah dikeluarkan rakyat menerusi i-Sinar dan i-Lestari apabila ekonomi negara kembali pulih kelak.

Langkah tersebut adalah untuk membantu pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi apabila tiba hari persaraan, kata Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Ujarnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020, kerajaan telah menyalurkan pelbagai bantuan secara tunai kepada rakyat seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Namun duit yang diberikan secara tunai itu terus habis dibelanjakan tanpa dijadikan sebagai simpanan, adalah baik dengan bantuan tunai itu diberikan dalam bentuk bantuan persaraan yang terus dimasukkan ke dalam KWSP.

“Ia sekaligus ia boleh digunakan untuk menjana pelaburan yang akan memberi pulangan kepada pencarum. Bagaimanapun mekanismenya boleh difikirkan kemudian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Ahmed Razman menambah, bantuan caruman itu boleh dilaksanakan kepada golongan yang benar-benar terjejas tetapi kerajaan perlu memberi komitmen iaitu janji untuk membantu rakyat.

Ini kerana hampir 600,000 individu telah kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan kebanyakan mereka bekerja sendiri dan tidak lagi mencarum.

Sementara itu, Ahmed Razman berpendapat, moratorium automatik wajar diperluaskan kepada semua pihak dan tidak hanya tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.

Tambahan pula, pemberian moratorium automatik selama enam bulan itu dijangka tidak akan menjejaskan pendapatan pihak bank.

“Bagaimana kita ingin kesan mereka yang terjejas, kita perlu bagi keutamaan kepada pemohon-pemohon yang pernah datang minta lanjutan moratorium dan penstukturan bayaran.

“Ini kerana mereka telah datang mohon sekali dan mempunyai rekod, golongan ini yang perlu diberi terus moratorium tidak kira sektor mana, industri mana atau jawatan apa,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ahmed Razman juga mencadangkan agar melaksanakan mukasah atau pemberian baucer kepada rakyat untuk membeli keperluan harian tanpa perlu mengeluarkan duit daripada akaun KWSP.

Melalui konsep itu, kerajaan tidak perlu mengeluarkan wang secara tunai sebaliknya mengurankan bebanan kerajaan untuk tidak perlu mengeluarkan bon serta menambah hutang.

“Kerajaan hanya perlu cetak kertas dan hantar pada syarikat, kedai atau restoran dan mereka ini akan menerima baucer tersebut untuk membeli barangan perkhidmatan dan sebagainya.

“Apabila sampai masa mereka perlu membayar cukai syarikat sebanyak RM1juta, tetapi baucer yang terkumpul hanya RM500,000 maka mereka boleh mendapat tuntutan rebat mengikut pulangan baucer yang dimiliki,” katanya.

Memandangkan kini semakin moden, beliau juga mencadangkan konsep baucer itu  boleh dilaksanakan secara digital dengan menggunakan pemberian melalui  e-wallet atau point kepada pengguna. – MalaysiaGazette