Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada Bicara Persada Cameron Highland ke Semenyih : Adakah Lanskap Politik Akan Berubah? di UKM Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Pendirian teguh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama-sama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lain untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sekiranya Parlimen bersidang  meredakan suhu politik negara.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nadzri berkata, perakuan itu merupakan satu langkah tepat tatkala UMNO berdepan krisis kepercayaan antara pemimpinnya ketika ini.

“Kenyataan Ismail Sabri dan Ahli Parlimen BN yang lain itu merupakan tindakan tepat bagi UMNO untuk terus memberikan komitmen terutama mereka yang memegang jawatan dalam kabinet bersama kerajaan dalam menangani pandemik.

“Ini adalah satu langkah baik dan terpuji dan kita sedar bahawa keadaan UMNO sejak dua tiga hari ini sedang berhadapan krisis dengan kenyataan daripada Presiden (UMNO) sendiri bahawa Parlimen perlu bersidang 14 hari selepas notis dikeluarkan.

“Saya yakin tindakan sama juga akan dilakukan menteri-menteri Kabinet yang lain untuk terus bekerja sebagai satu pasukan bagi menamatkan pandemik sekali gus menaikkan imej parti itu di mata rakyat sebagai satu contoh teladan pemimpin UMNO yang baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Achmad Dzariean, sifat itu mencerminkan rasa tanggungjawab dan dan responsif daripada kepimpinan tertinggi UMNO untuk sama-sama membantu kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Rabu lalu, Ismail Sabri bersama menyatakan, Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN bersetuju Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada, atau kesesuaian pindaan yang diperlukan.

Mereka bagaimanapun tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan pada sidang berkenaan kelak.

Ismail Sabri juga berkata Ahli Parlimen UMNO dan BN turut bersetuju Parlimen bersidang semula seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau apa-apa pindaan bersesuaian.

Namun katanya, mereka mahu sidang Parlimen itu hanya tumpu kepada isu rakyat mendepani wabak. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahli Parlimen BN sepakat tolak undi tidak percaya kepada Muhyiddin jika Parlimen bersidang