Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Lantikan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2021.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akur dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung rayuan Parti Pejuang Negara (Pejuang).

Beliau berkata dirinya selaku menteri yang menjaga Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan membuat keputusan itu dalam masa 14 hari.

“Dia (Mahkamah Tinggi) suruh buat keputusan, saya akan buat keputusan. Saya akan buat keputusan terhadap rayuan Pejuang tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memerintahkan Hamzah untuk membuat keputusan berhubung permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid dalam penghakimannya berkata, keputusan itu perlu dibuat dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

Keputusan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggesa Hamzah membuat keputusan berhubung rayuan parti itu.

Ahmad Kamal dalam penghakimannya juga berkata, tempoh lima setengah bulan adalah melebihi masa bagi menteri membuat keputusan berhubung rayuan parti berkenaan yang dikemukakan Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast