bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mencatatkan dagangan dalam keadaan berhati-hati minggu depan susulan kekurangan pemangkin utama untuk mempengaruhi minat risiko dalam kalangan pelabur.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak pada paras semasa iaitu antara 1,560 dengan 1,580 mata minggu depan.

Beliau berkata acara utama yang menjadi perhatian pelabur ialah mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang dijadualkan pada 1 Julai, dengan anggotanya dijangka berbincang untuk melonggarkan lagi pengurangan pengeluaran susulan permintaan minyak bagi bulan-bulan akan datang diunjurkan tinggi.

OPEC berkemungkinan merendahkan lagi kadar pengurangan pengeluaran selepas Menteri Minyak India, Dharmendra Pradhan mendesak pertubuhan itu menghentikan tindakan mengekang pengeluaran mentah kerana harga yang tinggi akan mengakibatkan inflasi, katanya.

“Justeru, kaunter minyak dan gas akan menjadi tumpuan minggu depan. Selain itu, nampaknya tidak ada pemangkin lain daripada peringkat luaran.

“Ini menjadikan pelabur mengikuti rapat kadar vaksinasi harian (dalam negara), yang mencapai 268,604 dos pada 24 Jun —  rekod tertinggi — namun pada masa yang sama kes COVID-19 harian masih tinggi iaitu melepasi 5,000 kes sehari,” katanya kepada Bernama.

Adam berkata dari sudut ekonomi pula, pelabur di Malaysia akan menumpukan angka eksport bagi Mei pada Isnin ini, yang dijangka mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak dua digit, dipacu oleh permintaan luar yang kukuh.

Beliau berkata data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi Mei juga akan dikeluarkan pada Rabu ini, dengan pertumbuhan indeks itu akan menjejaki aliran IHPR China memandangkan hubung kait yang kuat antara pertumbuhan IHPR bagi kedua-dua negara.

Data ekonomi utama yang lain dari negara berlainan termasuk Indeks Harga Pengguna (IHP) Thailand, Korea Selatan dan Jerman bagi Mei, dengan kadar inflasi dijangkakan lebih tinggi susulan kenaikan harga komoditi global baru-baru ini, katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia mengalami dagangan tidak menentu ekoran dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai kadar faedah Amerika Syarikat (AS), penurunan kes COVID-19 tempatan harian dan penggabungan Digi-Celcom.

Prestasi bursa tempatan itu juga disebabkan penjualan saham sarung tangan getah, semakan unjuran Bank Dunia terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia serta perjanjian infrastruktur AS.

FBM KLCI susut 29.37 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,559.68 daripada 1,589.05 yang direkodkan minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 250.54 mata kepada 11,334.4; Indeks FBMT 100 susut 231.23 mata kepada 11,045.1; Indeks FBM Emas Shariah menguncup 392.46 mata kepada 12,385.76; FBM ACE merosot 485.9 mata kepada 7,221.8 dan FBM 70 kurang 397.07 mata kepada 14,619.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 33.99 mata kepada 15,279.71; Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 4.03 mata kepada 187.98 manakala Indeks Perladangan susut 159.15 mata kepada 6,522.4.

Indeks Tenaga menguncup 35.78 mata kepada 807.83, Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 127.7 mata kepada 2,941.17 dan Indeks Teknologi turun 3.25 mata kepada 78.95.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 27.78 bilion unit bernilai RM14.25 bilion daripada 28.17 bilion unit bernilai RM18.24 bilion yang dicatatkan minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama sebanyak 16.29 bilion saham bernilai RM11.73 bilion berbanding dengan 18.83 bilion saham bernilai RM15.58 bilion.

Jumlah dagangan waran pula meningkat kepada 1.48 bilion unit bernilai RM154.96 juta daripada 1.41 bilion unit bernilai RM142.50 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 10.0 bilion saham bernilai RM2.35 bilion daripada 7.86 bilion saham bernilai RM2.51 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast