Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Peguam Negara dianggap oleh Pakatan Harapan (PH) telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.

Menurut PH, Peguam Negara sepatutnya memberi pandangan beliau terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta merahsiakannya bukan mengumumkan pandangan secara terbuka.

“Ia telah mengenepikan semangat Perlembagaan dan memberi gambaran Peguam Negara telah mengenepikan institusi Raja-Raja Melayu untuk melindungi sebuah kerajaan yang mahu berkuasa mutlak tanpa kawalan mahu pun batas waktu,” kata satu kenyataan bersama pimpinan PH hari ini.

Ia kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut mereka, kenyataan itu juga satu bentuk “pelanggaran kerahsiaan” (breach of confidentiality) antara peguam dan anak guam.

“Dengan pelanggaran ini, beliau tidak layak menjadi seorang peguam apatah lagi menjawat jawatan Peguam Negara.

“Oleh itu, kenyataan Peguam Negara ini adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan beliau mesti dipecat segera,” katanya.

Sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harus berkata, kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.

Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan, katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Kuasa YDPA panggil sidang Parlimen hendaklah ikut nasihat Jemaah Menteri