Pasukan penyelamat sedang melihat kawasan runtuhan pada bangunan tiga tingkat yang meletup hingga mengorbankan tujuh nyawa. foto Agensi

DHAKA – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera dalam runtuhan bangunan komersial selepas letupan besar berlaku di sini.

Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka (DMP), Shafiqul Islam mengesahkan kepada wartawan seramai “tujuh orang terbunuh dalam letupan itu.”

“Kami telah dimaklumkan sekurang-kurangnya 50 orang cedera dalam kejadian itu,” tambahnya.

Punca sebenar letupan yang berlaku sekitar jam 7.30 malam waktu tempatan tidak diketahui.

Shafiqul berkata, setakat ini mereka tidak menemui sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan  tindakan sabotaj yang menyebabkan letupan di bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut menempatkan beberapa restoran dan kedai.

Letupan dan runtuhan yang berlaku itu menyebabkan dinding kaca yang pecah memenuhi jalan raya di luar bangunan tigak tingkat tersebut.

Dua bas yang berada di luar bangunan turut rosak teruk akibat letupan tersebut. – MalaysiaGazette