Kira-kira 200 penduduk Flat Taman Medan Jaya menerima sumbangan bahan kering berikutan pelaksanaan Fasa di Kota Tinggi, Johor.

KOTA TINGGI – Menyedari ramai yang terkesan akibat penularan Covid-19, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Hari ini, kira-kira 200 keluarga di Flat Taman Medan Jaya di sini turut mendapat perhatian apabila menerima bekalan makanan yang disampaikan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin (PKJP) yang juga Ahli Majlis Daerah Kota Tinggi, Datuk Tan Lek Khang.

Ahli Majlis Daerah Kota Tinggi, Datuk Tan Lek Kang.

Sebelum itu, kira-kira 1,000 penduduk telah diberi bantuan yang sama termasuk di  Labis di Segamat.

“Kami memahami keperitan yang dialami rakyat terutama apabila bermula Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara ini sudah tentu ramai yang terkesan kerana masih banyak SOP yang perlu dikuti.

“Bagi pekerja yang bergantung pada gaji hari bagi sektor bukan perlu, fasa ini sudah tentu memberi kesan terhadap kehidupan mereka namun keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan seperti PKJP turun membantu golongan B40 dan M40 di sekitar Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan kepada 200 penduduk Flet Taman Medan Jaya di sini hari ini.

Jelas Lek Khang, walaupun sumbangan yang disampaikan tidak melibatkan jumlah yang besar namun pihaknya yakin pemberian itu mampu meringankan beban yang ditanggung mereka setiap hari.

PKJP akan memastikan sumbangan keperluan harian akan disalurkan kepada penduduk sekitar Kota Tinggi yang terjejas mengikut fasa ditetapkan.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Lim Bee Ring, 65, mengakui pendapatannya sebagai tukang buat rumah terjejas sejak penularan pandemik.

Lim Bee Ring.

Walaupun akur dengan arahan yang ditetapkan kerajaan namun keperitan itu terpaksa dilaluinya dan bersyukur ada NGO yang sudi membantu.

“Kerja sekarang terlalu kurang. Saya bergantung pada gaji hari apabila majikan tak dapat beroperasi kerana bukan sektor perlu, saya juga terkesan.

“Sekarang saya bergantung harap pada anak yang terpaksa menanggung pelbagai beban perbelanjaan lain seperti pinjaman rumah, kereta dan insurans.

“Tetapi keprihatinan pihak NGO seperti PKJP ini sedikit sebanyak meringankan beban kehidupan kami dan ini bukan kali pertama saya dibantu oleh NGO yang sama,” ujarnya.

Bagi suri rumah, Nur Aisyah Abdullah, 50, pula ekoran banyak sektor ditutup, perbelanjaan di rumah juga meningkat dan bantuan yang diberikan sangat membantu meringankan beban mereka.

Nur Aisyah Abdullah.

Sumbangan itu ternyata membantu kekuarga mereka menampung perbelanjaan isi rumah dalam tempoh seminggu dua.

“Ya Allah syukur Alhamdulilllah,terima kasih sangat dengan pemberian ini. Dapat juga akak berjimat dalam seminggu dua,tidak banyak sedikit pun sudah memadai daripada tiada,” katanya.- MalaysiaGazette