Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap pada taklimat media Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 12.4 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) layak memohon pengeluaran i-Citra dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan semalam.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, seramai 8.7 juta ahli memiliki simpanan yang mencukupi untuk memohon pengeluaran sebanyak RM5,000.

Tambah beliau, seramai 3.7 juta penyimpan memiliki simpanan kurang RM5,000 untuk membuat permohonan pengeluaran.

“Jadi mereka hanya mampu keluarkan baki simpanan yang ada sahaja. Dalam isu KWSP ini, ia adalah struktur jangka masa panjang untuk membantu dan menekan kepentingan pada masa akan datang.

“Tetapi hari ini, kita berdepan krisis terbesar dan kerajaan buat terbaik untuk membantu rakyat yang memerlukan pertolongan.

“Kita berharap inisiatif i-Citra ini dapat membantu rakyat yang terkesan akibat pandemic Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media khas mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di kementeriannya di sini hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap pada taklimat media Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 JUN 2021.

Tengku Zafrul menambah, dalam isu KWSP, kerajaan perlu melakukan keseimbangan dengan memberi perhatian kepada ahli yang memerlukan pengeluaran simpanan mereka ketika ini.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan juga mengambil kira ahli yang tidak mahu melakukan pengeluaran dan apa impak kepada simpanan pada masa akan datang.

Menurutnya, selepas membuat penilaian, pakej tersebut memberi faedah kepada kedua-dua kumpulan ahli itu.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudahan pengeluaran baharu – i-Citra diperkenalkan dalam Pemulih

Perdana Menteri berkata, seramai 12.7 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sebanyak RM5,000 untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan.

“Pelaksanaan i-Citra ini dapat menyalurkan RM300 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan rakyat,” katanya ketika mengumumkan Pemulih.

Ahli-ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai ini.

Pembayaran pertama dijangka dikreditkan kepada ahli pada bulan Ogos ini. – MalaysiaGazette