KUALA LUMPUR – Prtumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2020 adalah yang kedua terendah selepas krisis kewangan tahun 1998.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional pada tahun 2020 merosot 5.6 peratus berbanding 4.4 peratus pada tahun sebelumnya, yang mana semua aktiviti ekonomi merekodkan pertumbuhan negatif.

Ternyata pandemik Covid-19 telah memberi impak kepada hampir kebanyakan aktiviti ekonomi negara selepas pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 untuk mencegah penularan wabak koronavirus itu telah mendorong penutupan sementara sebahagian sektor ekonomi dan pengurangan waktu beroperasi.

Justeru, kadar pengangguran pada tahun 2020 telah mencecah sehingga 4.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2019.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, KDNK nasional merekodkan nilai pengurangan sebanyak RM80.4 bilion berbanding tahun 2019.

Berdasarkan perincian mengikut negeri, Selangor mencatatkan pengurangan tertinggi iaitu sebanyak RM18.3 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM17.5 bilion), Sarawak (RM9.6 bilion) dan Sabah (RM8.1 bilion).

Keempat-empat negeri tersebut telah menyumbang 66.7 peratus kepada nilai penyusutan nasional.

Secara umumnya, beberapa negeri dilihat menerima impak yang agak mendalam berbanding sebilangan negeri yang mempunyai asas struktur ekonomi yang mampu mengimbangi magnitud kemerosotan seperti di peringkat nasional.

Namun lapan negeri merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih baik berbanding penyusutan 5.6 peratus peringkat nasional.

Menurut beliau, komposisi aktiviti ekonomi yang berbeza mendorong kepada kepelbagaian ciri bagi setiap negeri dan seterusnya memberi impak yang berbeza kepada pertumbuhan ekonomi.

Dari perspektif sektoral, kemerosotan pengeluaran bagi subsektor kelapa sawit, getah dan pembalakan telah mempengaruhi momentum kejatuhan sektor pertanian terutama kepada negeri yang mempunyai kebergantungan kepada komoditi tersebut.

Bagi sektor pembuatan, negeri-negeri yang memberi penumpuan kepada pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk getah (terutamanya sarung tangan) dilihat memperoleh kelebihan berbanding negeri lain.

Menurutnya, kemerosotan nilai kerja bagi pelbagai projek-projek pembinaan terutamanya dari segmen kejuruteraan awam telah membawa kepada prestasi negatif sektor pembinaan.

Sementara itu, negeri yang mempunyai sumbangan yang signifikan dalam industri berasaskan pelancongan lebih menerima impak ketara berikutan daripada sekatan perjalanan serta dasar penutupan sempadan yang menyumbang kepada penurunan ketibaan pelancong asing serta pelancong domestik.

Mohd Uzir menjelaskan meskipun pandemik Covid-19 telah memberi impak negatif kepada ekonomi negeri, enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah kekal sebagai penyumbang utama KDNK nasional dengan jumlah sumbangan sebanyak 72.1 peratus (2019: 72.3%).

Dari sudut pertumbuhan, kesemua 13 negeri termasuk dua Wilayah Persekutuan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif pada tahun 2020.

Walau bagaimanapun, terdapat lapan negeri memperoleh magnitud pertumbuhan yang lebih baik berbanding penguncupan 5.6 peratus yang dicatatkan di peringkat nasional.

Labuan merekodkan penurunan 0.5 peratus, diikuti Kelantan (-1.1%), Kedah (-1.7%), Pulau Pinang (-2.1%), Perak (-2.3%), Negeri Sembilan (-3.6%), Johor (-4.6%) dan Selangor (-5.3%).

Dari sudut KDNK per kapita, kesemua tiga belas negeri dan dua Wilayah Persekutuan mencatatkan penurunan dalam nilai KDNK Per Kapita berbanding tahun 2019.

Tujuh negeri mencatatkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional (RM43,378) iaitu Kuala Lumpur (RM120,600), Labuan (RM76,792), Pulau Pinang (RM54,718), Selangor (RM51,966), Sarawak (RM48,597), Melaka (RM45,893) dan Negeri Sembilan (RM43,859). – MalaysiaGazette