KUALA LUMPUR – Seramai lima individu melalui detik cemas apabila terperangkap di dalam sebuah lif yang tiba-tiba terjatuh dari tingkat dua di sebuah bangunan di Klang Lama, di sini, petang tadi.
Komander Operasi, Armdan Mahat dari Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Talian MERS 999 mengenai insiden lif jatuh sekitar jam 4.22 petang.
Menurutnya, seramai 25 anggota bomba dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dan BBP Jalan Hang Tuah Hang Tuah, bersama duan jentera Fire Rescue Tende (FRT), dua unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua buah Hilux bergegas ke lokasi kejadian dan tiba di lapangan lapan minit kemudian.
“Setibanya di lokasi pada 4.30 petang, kami mendapati berlaku kejadian lif terjatuh dan terdapat mangsa terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita yang terperangkap di dalam lif tersebut.
“Kesemua mangsa adalah warga tempatan dan berusia antara 28 hingga 61 tahun sebelum anggota bomba berjaya mengeluarkan mereka tanpa sebarang masalah sekitar jam 4.35 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun beliau menambah, tiga mangsa wanita mengalami kecederaan di bahagian kaki mereka.
Ujar beliau, kesemua mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Taman Desa menggunakan EMRS manakala dua mangsa lelaki terselamat tanpa sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba telah memulakan siasatan untuk mengenalpasti punca kejadian itu,” katanya. – MalaysiaGazette