ATHENS – Sebuah lukisan karya Pablo Picasso yang dicuri sembilan tahun lalu di sebuah galeri di Greece telah ditemui semula.
Polis Athens berkata, lukisan kepala wanita itu telah dijumpai bersama lukisan kincir angin 1905 oleh Piet Mondrian.
Kedua-duanya diambil, bersama satu lagi karya seni yang hilang pada tahun 2012 di Athens National Gallery.
Karya seni itu dikeluarkan daripada kerangka dalam serbuan pagi yang dipercayai mengambil beberapa minit untuk dibawa lari.
Agensi berita Reuters yang memetik seorang pegawai polis sebagai berkata, seorang lelaki telah ditangkap setelah seni itu ditemui tersembunyi di sebuah gaung di pinggir bandar.
Karya Picasso itu ditemui selepas beberapa bulan lalu polis Greece mengesahkan pihaknya percaya lukisan itu masih berada dalam negara.
Lukisan potret seorang wanita dengan gaya cubist, dihadiahkan ke galeri tersebut oleh artis itu sendiri pada tahun 1949 sebagai penghargaan kepada penentangan negara itu terhadap Nazi Jerman.
Karya itu telah dilukis satu dekad sebelumnya.
Lukisan Mondrian turut dicuri tetapi dipercayai terjatuh ketika pencuri sedang melarikan diri. – MalaysiaGazette