Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Bayaran parkir bagi semua tempat letak kenderaan di bahu jalan di sekitar ibu negara dikecualikan bermula 2 Julai hingga 31 Ogos ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengecualian itu bagi meringankan beban orang ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya bersetuju mulai esok sehingga 31 Ogos, semua tempat letak kereta bahu jalan dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur adalah percuma.

“Pengguna tidak perlu bayar apa-apa dan diharap penjimatan itu dapat digunakan untuk membeli barang keperluan keluarga,” katanya dalam satu ciapan di akaun Twitter miliknya hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan menambah lima inisiatif bagi meneruskan agenda prihatin rakyat dengan membantu warga Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mendepani pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) 3.0.

Pelaksanaan inisiatif itu juga selaras dengan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Menurut Annuar, biar pun berhadapan dengan kedudukan ekonomi dan kewangan yang begitu mencabar, rakyat tetap menjadi keutamaan terutama kumpulan rentan.- MalaysiaGazette