Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai pengerusi kumpulan dan Mohd Azharuddin Mat Sah sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan yang baharu.

Kedua-dua pelantikan ini berkuatkuasa serentak pada 15 Julai ini dan Lembaga Pengarah dan Barisan Kepimpinan Kanan Kumpulan Prasarana mengalu-alukan pelantikan kedua-duanya.

“Pengalaman luas yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh dalam menerajui syarikat-syarikat besar dari segi operasi dan pentadbiran serta penglibatan mereka di dalam merangka polisi dan inisiatif bagi sektor awam adalah satu kelebihan besar buat Prasarana dalam meneruskan agendanya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam khususnya dalam berhadapan dengan cabaran penularan pandemik Covid-19,” kata Prasarana dalam satu kenyataan hari ini.

Jamaludin merupakan Presiden and Ketua Eksekutif Kumpulan bagi Axiata Group Berhad (Axiata) sebelum persaraannya di akhir tahun 2020 dan dikenali sebagai tulang belakang yang mengemudi transformasi Axiata daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada gergasi telekomunikasi yang amat disegani yang beroperasi di 11 buah negara ASEAN dan Asia Selatan.

Pelantikan Azharuddin pula akan memberikan sinergi dan perspektif dari sudut pengangkutan awam, selari dengan pengalaman beliau di dalam industri pengangkutan awam darat dan udara.

Mohd Azharuddin Mat Sah.

Terdahulu, Azharuddin berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Transformasi, Malaysia Airlines Berhad dari 2019 hingga 2021 dan bertanggungjawab bagi porfolio merangkumi pelan transformasi jangka panjang dan bahagian teknologi maklumat dan digital syarikat penerbangan tersebut.

Dengan gabungan dan kerjasama rapat kedua-dua tokoh itu, Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana yakin misi Syarikat untuk melaksanakan transformasi strategik dalam sistem pengangkutan awam negara dan memacu pertumbuhan ekonomi, serta menjadi pemangkin bagi merancakkan semula sektor komersial dan perniagaan dapat direalisasikan. – MalaysiaGazette