KUALA LUMPUR – Media Prima Bhd menerima tawaran daripada PNB Development Sdn Bhd (PNB Development) bagi cadangan perolehan Balai Berita Bangsar pada RM156.4 juta.

Dalam kenyataan pada Jumaat, syarikat media bersepadu itu menjelaskan pihaknya telah memulakan langkah bagi memperoleh ibu pejabat di Bangsar, di sini tersebut, sebagai sebahagian pelan pengukuhan jangka panjang bagi operasi perniagaan kumpulan.

Cadangan perolehan Balai Berita Bangsar berkenaan dijangka memberi jaminan jangka panjang untuk memastikan operasi kumpulan berjalan lancar.

“Media Prima juga telah mengambil kira faktor lokasi strategik Balai Berita Bangsar sebagai lokasi optimum mendukung kadar pertumbuhan dan operasi kumpulan pada masa depan.

“Cadangan perolehan itu merupakan pelan perniagaan strategik bagi menjamin kelestarian masa hadapan dengan ia juga dapat mengurangkan risiko kenaikan kadar sewaan berpotensi,” jelasnya.

Syarikat turut berhasrat melabur ke dalam pembikinan studio baharu bagi melengkapkan studio sedia ada bertujuan memenuhi permintaan terhadap keperluan penghasilan kandungan yang semakin meningkat di samping menyatukan operasi pengumpulan berita, tambahnya.

Menurut Media Prima, bangunan berkenaan merupakan ibu pejabat syarikat dan pejabat anak-anak syarikat yang disewanya daripada PNB Development.

Pada 2018, Media Prima menandatangani perjanjian urus niaga jualan dan pajakan balik dengan PNB Development, melibatkan aset milik The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd termasuk Balai Berita Bangsar.

PNB Development merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd. – MalaysiaGazette