Pegawai Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain
Pegawai Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain

BANGI – Selepas memasuki hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, semua penduduk di kawasan itu akan menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.

Menurut Pegawai Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain, ujian saringan itu bagi memastikan kesemua individu yang positif Covid-19 dapat dikenalpasti dan dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk rawatan.

“Hari pertama (PKPD) kita melakukan pengesan aktif kes positif, hari kedua dan ketiga hari ini Pejabat Kesihatan Daerah akan melakukan ujian saringan kepada semua penduduk dalam kawasan PKPD ini,”

“Kes yang positif akan dirujuk ke PKRC swasta yang akan dibayar sepenuhnya oleh majikan bagi pekerja-pekerja asing yang terlibat,” katanya dalam sidang media PKPD Pangsapuri Sri Ayu, Hulu Langat, hari ini.

Katanya, semalam sahaja lebih 600 individu terdiri daripada pekerja telah menjalani ujian saringan besar-besaran.

Ia adalah sebilangan daripada 2,229 pekerja asing wanita yang berada dalam PKPD berkenaan.

“Semalam kita telah melaksanakan ujian saringan melibatkan lebih 600 pekerja yang ada dalam PKPD tersebut, dan keseluruhan banci penduduk selepas hari pertama adalah seramai 2,334 orang.

“Berdasarkan bancian, terdapat 2,229 bukan warganegara dan 105 warganegara tinggal di PKPD Pangsapuri Sri Ayu di mana majoriti adalah bukan warganegara,” katanya lagi.

Pada 28 Jun lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Pangsapuri Sri Ayu Seksyen 4, Bandar Baru Bangi selepas 205 kes positif Covid-19 direkodkan, bulan lalu.

PKPD itu berkuatkuasa mulai Rabu lalu sehingga 13 Julai depan.

Ia dilakukan kerana masih terdapat kes penularan masih berlaku dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini.

Ditanya mengenai pelaksanaan PKPD Bersasar di Mukin Kajang, Najmuddin berkata, segala Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pelaksanaan ke arah itu akan diputuskan dalam mesyuarat bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari malam ini.

“Pengerusi Bencana Daerah akan bermesyuarat pada malam ini dengan Menteri Besar, sehingga ada arahan rasmi daripada pejabat kerajaan negeri barulah ada pengumuman daripada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette