KUALA LUMPUR – Para pekerja sektor perbankan terutama mereka yang berada di bahagian hadapan perkhidmatan perbankan perlu diberikan keutamaan segera dalam program vaksinasi.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) terkilan kerana sehingga kini para pekerja perkhidmatan perbankan belum disenaraikan sebagai kumpulan sasaran barisan hadapan dalam mendapatkan suntikan vaksin.

Sebelum itu, kata Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon, beberapa permohonan bagi tujuan tersebut telah dikemukakan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan program vaksin sejak Mac lalu.

Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) juga sendiri telah menulis surat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada pertengahan bulan Mac lalu.

“Kami berharap pekerja-pekerja perbankan juga akan diberikan keutamaan dan proses vaksinasi akan dipercepatkan supaya kita sama-sama boleh memainkan peranan yang kritikal dalam meningkatkan kadar kawalan terhadap penularan Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, NUBE ingin menegaskan, kerajaan memerlukan langkah holistik pelbagai sudut dalam memerangi penularan pandemik selain pematuhan kendiri dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan Pelan Pemulihan Negara.

“Pemberian vaksin secara menyeluruh dalam kadar yang cepat amatlah penting bagi mengawal Covid-19 termasuk kepada pekerja kaunter bank,” kata Solomon.- MalaysiaGazette