Ahmad Zahid Hamidi new Cabinet
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengusaha kantin sekolah yang diberi notis peringatan kutipan sewa sedangkan sekolah sudah lama ditutup kerana pandemik dilihat tidak adil.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka sudah pasti mengalami kerugian tidak wajar disuruh membayar sewa antara RM1, 200 hingga RM4,000 sebulan.

Menurutnya, perkara itu didedahkan oleh Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia.

“Kita bimbang tindakan itu akan menggalakkan sektor persendirian melakukan perkara serupa. Menghakis motivasi pemilik premis beri penangguhan bayaran kepada penyewa mereka.

“Kemudian timbul cerita gaji kira-kira 50,000 pekerja kontrak sekolah dipotong sehingga 40 peratus. Mereka termasuk tukang cuci dan tukang kebun yang masih bekerja pada waktu PKP. Dipotong oleh pihak kontraktor kerana Kementerian Pendidikan didakwa mengurangkan peruntukan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid khuatir ia akan mempengaruhi sektor lain untuk turut potong gaji pekerja kerana kerajaan seolah-olah mengizinkan kontraktor lantikannya memotong gaji pekerja.

“Kita harap dalam keadaan sukar seperti sekarang kerajaan tampilkan lebih keprihatinan. Beri moratorium sewa kepada pengusaha kantin sehingga sekolah kembali dibuka.

“Arah kontraktor tidak potong gaji pekerja dan kerajaan tampung sementara sebahagian gaji pekerja,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast