Antara pekerja kilang yang diarah pulang selepas Anggota Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam membuat serbuan dalam satu operasi Op Patuh di sebuah kilang plastik yang dipercayai melanggar arahan MITI dan membuat pengistiharan palsu sebagai perkhidmatan perlu ketika di sekitar Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menilai semula kebenaran operasi kilang-kilang dan tapak pembinaan di seluruh negara terutamanya di negeri-negeri yang jumlah vaksinasinya masih rendah kerana kepadatan penduduk yang ramai.

Secara logiknya, untuk mencapai sesuatu sasaran, kerajaan perlu mempunyai fokus utama bagi penurunan kebolehjangkitan Covid 19 dengan memberhentikan faktor penyumbang kepada peningkatan kes.

Jika sasaran ini tidak mampu dilakukan, maka kegagalan akan menjadi penyumbang kepada ketidakupayaan mengawal penularan wabak Covid-19.

Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), Raja Shah Erman Raja Arifin berkata, jika dalam tempoh sebulan kerajaan boleh menilai kluster tempat kerja menjadi faktor penularan jangkitan ini, maka wajarlah ditutup sementara bagi memutuskan rantaian tersebut.

Mengikut rekod, kerajaan pernah berjaya menggunakan strategi tersebut dalam jangka masa pendek semasa PKP1.0 tahun lalu.

Fokus sekarang adalah pengurangan kes (kebolehjangkitan) dan mempercepatkan vaksin untuk semua rakyat.

Dalam pada itu, katanya, pengumuman pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di lima negeri akan memberi nafas baru kepada aktiviti ekonomi setempat.

Negeri-negeri tersebut ialah Perlis, Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu

Ini kerana, kelima-lima negeri ini mempunyai aktiviti ekonomi setempat yang tinggi dengan majoriti penduduknya bergantung kepada penjualan hasil tanaman tempatan dan perniagaan kecil yang berasaskan industri asas tani.

“Jika dilihat, sektor ekonomi negeri-negeri yang bakal beralih ke Fasa Dua PPN ini melibatkan aktiviti sosial yang memberi kesan kepada ekonomi setempat seperti kedai makan, penjualan produk akhir pengguna dan perkhidmatan berasaskan kemahiran serta usaha kecil-kecilan sendiri,” kata beliau.

Analoginya mudah, sebagai contoh, jika rakyat dibenarkan berbasikal (aktiviti sukan), selesai bersukan mereka akan cari kedai untuk makan dan minum, seterusnya mereka akan menghantar basikal untuk servis, membeli aksesori tambahan dan sebagainya.

Aktiviti ekonomi ini bukan sahaja melalui peruncitan, malah setiap premis kedai makan dan kedai basikal tadi akan mampu menggaji kembali pekerja mereka yang terpaksa diberhentikan sebelum ini.

Raja Shah Erman berkata, ketiga-tiga nilai ambang yang menjadi syarat peralihan fasa PPN kepada lima negeri tersebut turut disokong dengan disiplin dan komitmen yang tinggi yang ditunjukkan rakyat dalam memastikan penularan Covid-19 terus terkawal, selain mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja dengan terus memperkasakan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR).

Sementara itu, MASTI yang juga sebahagian dari penjawat awam turut memohon kerajaan mempertimbang segera morotarium diberikan kepada peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi membantu kumpulan pelaksana dasar kerajaan mendapat manfaat sewajarnya kerana terdapat antara penjawat awam mempunyai sumber pendapatan kedua tetapi terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dibenarkan dilaksanakan oleh kerajaan bagi menambah pendapatan keluarga sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast