Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pelantikan pemimpin tidak boleh dibuat dalam kalangan mereka yang fasiq, pembohong yang menipu rakyat, tidak melakukan amar ma‘ruf dan nahi munkar.

Pemimpin yang dilantik juga bukan dalam kalangan mereka yang hanya berwawasan dunia tanpa mengambil kira perhitungan pada hari pembalasan di akhirat kelak, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, berdasarkan beberapa ayat al-Quran, Allah SWT menunjukkan kepada umat Islam bahawa memilih pemimpin merupakan suatu amanah yang paling besar dengan ciri-ciri kepimpinan yang sempurna.

Jelas beliau, ‘Ulil Amri’ ialah para pemimpin yang memenuhi syarat dan para ilmuwan yang memelihara petunjuk Allah SWT dan cara pelaksanaannya yang adil.

Allah SWT tetap mengekalkan Islam terpelihara melalui ilmu dan pelaksanaannya walaupun kuasa Islam sudah dihapuskan, namun ajaran dan ilmunya tidak mampu dipadamkan cahayanya sekali-kali.

”Bukan alasan lagi, kononnya kini tidak mampu dilaksanakan Islam kerana tiada persediaan dan alasan-alasan lain seperti Islam tidak sesuai pada zaman kini,” katanya.

Abdul Hadi berkata, setiap pemimpin wajib ada secara silih berganti, berpandukan kepada petunjuk Allah SWT daripada kitabNya dan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Ilmu dalam al-Quran terpelihara dalam penulisan yang tidak putus hingga kini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast