KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Samad tidak pasti sama ada Ahli Parlimen UMNO masih lagi mahu bersama atau tidak dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU ke-15) selepas mereka mengadakan pertemuan di Jalan Bellamy, pada Jumaat lalu.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, kini semua peringkat dalam parti memerhatikan rujukan mereka.
Dakwanya, ini kerana kurang seminggu selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, menteri-menteri UMNO menawarkan perletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah tambah beliau, ada yang juga telah tandatangan surat peletakan jawatan tanpa menunggu keputusan Majlis Tertinggi (MT).
“Tak bincang dengan pemimpin-pemimpin tertinggi parti pun.
Itu ialah tafsiran mereka terhadap usul PAU 2020 – tawarkan perletakan jawatan menteri/timbalan menteri mereka kepada TS Mahaidin selaku PM (Perdana Menteri),” katanya dalam laman Facebook hari ini.
Bagaimanapun, tawaran mereka itu ditolak Perdana Menteri dan Ahli Parlimen terbabit sepakat untuk kekal dengan jawatan masing-masing, dakwanya.
Menurut Shahrir, Ahli Parlimen UMNO berada dalam kerajaan kerana Perdana Menteri percaya kepada mereka dan mereka juga percaya kepada Muhyiddin.
“Jadi, bagi mereka, apa ada hal dengan Majlis Tertinggi UMNO. PM dan Jemaah Menteri lebih besar punca kuasa dari MT UMNO.
Akhirnya, engkau YB, ke aku YB? Aku menteri, engkau ada apa?
Gitu ke?,” katanya. – MalaysiaGazette