Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menyampaikan bantuan bakul makanan kepada Bekas Ketua Wanita Umno Kampung Haji Razali, Aisah Kadiran, 72 pada Program Bantuan Makanan di Bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Tanjung Karang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 JULAI 2021

TANJONG KARANG – Sudah sampai masanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada pengilang dan peniaga sebelum mereka dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kebenaran melalui surat daripada MITI tidak relevan lagi ketika ini, sebaliknya mereka perlu disyaratkan menjalani ujian saringan Covid-19 dan mendapat vaksin sebelum dibenarkan beroperasi.

“Mana-mana kilang nak beroperasi tak perlu lagi surat MITI lagi mungkin kena ubah dasar itu. Ini mungkin satu pasport baharu untuk pergi ke mana-mana, mesti sudah disaring dan kalau boleh vaksin, itu lebih baik.

“Kalau kita masih guna surat MITI, saya ingat sudah ketinggalan zaman, takkan berjaya.

“Inilah akibatnya apabila keluar surat (MITI) tetapi tidak tahu apa berlaku di kilang,” katanya.

Terdahulu Noh melancarkan Program Bakul Makanan Parlimen Tanjong Karang sebanyak 3,000 bungkusan kepada penduduk kawasan Parlimen Tanjong Karang, sejak awal pagi tadi.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan sepatutnya mencari langkah lebih baik berbanding menghukum pengusaha kilang dan peniaga yang melanggar SOP.

“Saya tengok kerajaan ini yang menyebabkan kadang-kala rakyat pening kepala. Bukan masa untuk menghukum, mesti mencari langkah pencegahan,” katanya.

Noh turut mencadangkan supaya petugas barisan hadapan ditempatkan di sektor perkilangan bagi memastikan mereka beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mengapa tidak minta penguat kuasa tempatan, tentera, biarlah mereka jaga kilang-kilang ini, nak masuk kilang tunjuk keputusan saringan atau vaksin.

“Syarat ini mesti dipenuhi, jangan kita percaya kepada kilang. Sepatutnya kilang-kilang yang diberikan kelulusan ini, mesti ada pegawai penguatkuasa tunggu depan kilang,” katanya.

Noh juga mempersoalkan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menafikan sektor perkilangan menjadi kluster tertinggi dalam kes harian Covid-19.

“Kalau ikut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kata puncanya ialah kluster kilang, saya panggil kluster Azmin, sebab dia yang bagi kilang (beroperasi).

“Azmin pula kata tak betul, dia kata hanya 10 peratus, jadi mana satu betul?” soal Noh. – MalaysiaGazette