Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.Foto AFFAN FAUZI, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Siapa sangka bergaduh soal kewangan sesama ahli keluarga akhirnya meragut dua nyawa dalam kejadian menyayat hati di Kampung Parit Mahang, Jeram semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan mati selepas ditetak bapa saudara sendiri.

Bagaimanapun  suspek yang melakukan jenayah itu pula meninggal dunia beberapa jam kemudian pada hari yang sama selepas dimasukkan untuk rawatan akibat kecederaan.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pergaduhan itu melibatkan sesama ahli keluarga berpunca daripada isu kewangan dan ibu mangsa juga telah mengalami kecederaan dalam insiden itu.

“Bertindak atas maklumat, kira kira sejam kemudian selepas kejadian itu pada hari yang sama iaitu pukul 1.30 tengahari polis telah menangkap seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di tempat kejadian.

“Polis berjaya merampas sebilah parang panjang yang disyaki digunakan oleh suspek untuk menetak dan membunuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Arjunaidi, semasa polis bergegas tempat kejadian, ahli keluarga mangsa sendiri telah berjaya menangkap suspek  sebelum polis menahannya.

Semasa tangkapan, suspek mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan antara ahli keluarga dalam usaha mengelak dia melarikan diri.

“Suspek kemudian telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk tindakan siasatan lanjut namun sekitar pukul 4 petang keadaan suspek kelihatan amat lemah sebelum dia dikejarkan ke Hospital Tanjung Karang dengan ambulans untuk rawatan segera.

“Namun, 30 minit selepas dirawat, suspek disahkan meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang sekitar pukul 6.37 petang.

“Pihak keluarga telah dihubungi dan dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bedah siasat akan dijalankan oleh hospital seberapa segera mungkin untuk mendapatkan keputusan ujian saringan Covid-19,” katanya.

Rentetan itu, kata Arjunaidi, satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga simati agar siasatan dibuat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian suspek.

Tegas beliau, polis telah membuka satu kertas siasatn dan ditumpukan kepada aspek duty of care dan kelakuan jenayah semasa menguruskan suspek di tempat kejadian.

Dalam pada itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd faisal berkata, polis sedang dalam proses merakam keterangan kesemua individu yang terlibat.

“Kita sudah memulakan proses rakam keterangan dan ada beberapa saksi terdiri daripada kesemua ahli keluarga yang sudah tampil ke IPD Kuala Selangor dan beberapa anggota polis berhubung kejadian ini.

“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga proses bedah siasat selesai dijalankan oleh hospital dan laporan autopsi diperolehi polis untuk tindakan sewajarnya,” tegas beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast