KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat Telah meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan hari ini.
Kelab Pesara Pegawai Tentera (RAFOC) berkata, allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir pukul 6.45 petang tadi.
“Urusan jenazah allahyarham di Masjid Khalid Al-Walid, Kementah Kuala Lumpur malam ini.
“Pengebumian dijadualkan di Tanah Perkuburan AU Keramat selepas Solat Subuh pagi esok. Ziarah terhad kepada keluarga rapat sahaja,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi RAFOC hari ini.
RAFOC turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham.
“Semoga roh allahyarham diberkati dan dirahmati Allah serta diletakkan bersama golongan syuhada dan solihin. Al-Fatihah,” katanya.
Mohd Ghazali memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat dari tahun 1984 hingga 1985 dan kemudian dilantik Panglima Angkatan Tentera selama tiga tahun berakhir 1987.
Selepas bersara dari ATM, Mohd Ghazali pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Boustead Holdings Bhd.-MalaysiaGazette
















